Malaysia Dateline

Masjid berusia hampir 1000 tahun itu terkenal dengan menara condongnya dan dibina pada zaman Perang Salib

IS hancurkan masjid bersejarah Al-Nuri di Mosul

Kumpulan militan Daesh @ IS awal pagi tadi meletupkan Masjid al-Nuri, sebuah masjid berusia hampir 1,000 tahun yang terkenal di seluruh dunia dengan menara condongnya, menurut kenyataan tentera Iraq hari ini.

Masjid bersejarah itu merupakan tempat di mana ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi, mengisytiharkan “khilafah” di bawah kepimpinannya kira-kira 3 tahun lalu.

Agensi berita IS, Amaq bagaimanapun menuduh bedilan udara Amerika Syarikat menghancurkan masjid itu, dakwaan yang dinafikan serta merta gabungan tentera di bawah AS yang kini memerangi kumpulan itu.

“Kami tidak menyerang kawasan tersebut,” kata jurucakap tentera udara AS, John Dorrian, kepada Reuters.

“IS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehancuran ini,” kata kenyataan Joseph Martin, ketua panglima gabungan tersebut.

Pejabat media tentera Iraq mengedar gambar diambil dari udara menunjukkan masjid dan menaranya diratakan di tengah-tengah lambakan rumah kecil di Kota Lama, iaitu daerah bersejarah di mana kumpulan militan itu kini dikepung.

“Pengganas Daesh (IS) melakukan satu lagi keganasan ke atas sejarah dengan meletupkan Masjid al-Nuri dan menara al-Hadba.”

Al-Hadba, yang bermaksud “si bungkuk”, ialah nama yang diberi rakyat Iraq kepada menara masjid tersebut.

Klip video dimuat naik di media sosial menunjukkan menara itu runtuh menegak, di sebalik jeritan seorang wanita, “Menara! menara!”.

Letupan itu berlaku ketika pasukan elit anti-keganasan tentera Iraq yang sedang memerangi IS di Kota Lama Mosul, sudah berada hampir 50m dari kawasan masjid.

Masjid itu diserang pada waktu tempatan 9.35 malam tadi (2.35 pagi waktu Malaysia).

“Ini merupakan jenayah ke atas penduduk Mosul dan seluruh Iraq, dan adalah sebab mengapa organisasi kejam ini perlu dihapuskan,” kata Martin.

Awal semalam, pasukan tentera Iraq berkata mereka sudah berjaya menghampiri masjid itu.

Pejuang IS dikepung di Kota Lama, iaitu daerah terakhir di bawah kawalan kumpulan itu di Mosul.

Berdiri di mimbar Masjid al-Nuri pada Julai 2014, Al-Baghdadi mengisytiharkan dirinya seorang “khalifah” untuk seluruh umat Islam.

Klip ucapannya itu merupakan kali pertama dan satu-satunya klip mendedahkan wajahnya kepada dunia.

Sebelum ini, pegawai Iraq berharap dapat menawan kembali masjid itu menjelang Aidilfitri Ahad ini.

Masjid al-Nuri dinamakan sempena Nuruddin al-Zanki, seorang pejuang zaman Perang Salib. Ia dibina pada 1172-73 sejurus sebelum kematiannya, dan turut menempatkan sebuah pusat pengajian.

Ketika pengembara terkenal Ibn Battuta mengunjungi daerah itu, menaranya sudah pun mula condong.

Serangan ke atas masjid itu berlaku ketika umat Islam mengamati malam ke-27, yang dikaitkan dengan Laylatul Qadr di kemuncak Ramadan.