Malaysia Dateline

Tan Sri ISa Samad kekal sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd

Isa akan dipanggil semula untuk siasatan polis

Polis boleh memanggil semula bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, jika ada keperluan untuk melengkapkan siasatan.

Ketika ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selesai merakam kenyataan Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu, kira-kira jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kehadiran Isa ke Ibu Pejabat JSJK di Menara 238 hari ini, menunjukkan kerjasamanya dengan pihak polis dalam melengkapkan siasatan kes transaksi pemindahan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

“Saya sahkan proses rakaman percakapan terhadap Tan Sri Isa selesai dalam jam 4 petang tadi.

“Keperluan memanggilnya semula untuk melengkapkan siasatan akan diteliti oleh pihak JSJK,” katanya ketika dihubungi Berita Harian online hari ini.

Fuzi bagaimanapun tidak mengulas lanjut butiran rakaman percakapan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Sementara itu, usaha pihak media mendapatkan komen dan merakam gambar Isa gagal selepas beliau dilaporkan masuk dan keluar ke Menara 238 di Jalan Tun Razak, melalui laluan sulit iaitu menerusi lif khas di tingkat empat.

Tindakan berkenaan dipercayai dibuat bagi mengelak kehadirannya dikesan media yang menunggu seawal jam 8 pagi di tingkat bawah perkarangan bangunan sama.