Malaysia Dateline

Isa Samad SPAD

Isa dibimbangi cetus ‘huru-hara’ dalam SPAD selepas Felda

Ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong (gambar kanan) berkata, dibimbangi Isa akan mencipta lebih banyak ‘huru-hara’ dalam SPAD.

Liew Chin Tong SPAD

“Isa telah buat banyak masalah di FGV dan sebelum itu di Felda. Dia tidak patut diberikan jawatan penting di dalam SPAD kerana ia hanya akan menghakis keyakinan awam terhadap kerajaan.

“Adakah Isa akan terus mencipta lebih banyak ‘huru-hara’ dengan jawatan baru yang disandangnya kini?” katanya.

Beliau mengulas tindakan Isa ‘mengundurkan diri’ daripada jawatan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV dan kemudian dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD.

Beliau berkata, kebimbangan itu berasas kerana SPAD buat masa ini terlibat dalam beberapa projek mega sama ada secara langsung ataupun tidak.

Antaranya ialah pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM60 bilion, projek Laluan MRT berjumlah sekitar RM28 bilion dan pembinaan MRT Circle Line berjumah lebih RM20 bilion.

“Adakah wujud sebarang rahsia di mana Isa membantu Najib dalam beberapa perkara yang menyebabkan dirinya terus mampu berada dalam pentadbiran Najib walaupun tidak memiliki sebarang jawatan senior dalam Umno sejak sedekad lalu?” soalnya yang juga pengarah pendidikan politik DAP Kebangsaan.

Menurut Chin Tong juga, sejak SPAD diwujudkan pada 2010, beliau secara konsisten menyeru supaya agensi itu dan pengurusan pengangkutan awam diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Saya menyeru Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya bersetuju dengan saya bahawa pengangkutan awam perlu ditadbir urus oleh kementeriannya dan menolak pelantikan Isa sebagai Pengerusi SPAD,” katanya lagi.