Malaysia Dateline

Tan Sri Isa Samad SPRM

Isa direman lima hari

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding reman berkenaan mengeluarkan perintah reman itu mulai hari ini sehingga 20 Ogos (Ahad) berikutan permohonan SPRM.

Mohd Isa, 68, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 9.10 pagi dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dengan diiringi anggota SPRM menaiki kenderaan agensi penguatkuasaan itu untuk prosiding reman berkenaan.

Mohd Isa diwakili enam peguam iaitu Datuk K Kumaraendran selaku ketua, Dev Kumaraendran, Ridha Ahdar Subry, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Lavina Kumarendran dan Datuk N. Sivananthan pada prosiding itu manakala SPRM oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Beliau dipercayai menyalahgunakan kedudukan dalam kes pembelian hotel di London. Kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 16 Akta SPRM 2009.

Mohd Isa ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas dua jam memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Beliau kelihatan tenang ketika tiba di perkarangan mahkamah untuk prosiding reman itu dan kelihatan tersenyum ke arah anggota keluarga, penyokong dan media yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak 8 pagi, serta sempat berseloroh dengan jurugambar yang mahu merakamkan gambarnya.

{loadposition myposition}

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang menunggu di perkarangan mahkamah, kelihatan sebak ketika suaminya tiba.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Kumaraendran berkata barisan peguam membantah permohonan reman SPRM kerana Mohd Isa sedia memberi kerjasama penuh untuk hadir ke pejabat SPRM pada bila-bila masa.

Beliau berkata barisan peguam juga memohon agar Mohd Isa ditahan reman di hospital berikutan masalah jantung.

Namun, katanya, SPRM memberi jaminan bahawa kesihatan Mohd Isa akan sentiasa dijaga termasuk bekalan ubat.

Kumaraendran berkata SPRM memberitahu mahkamah bahawa Mohd Isa diperlukan untuk membantu siasatan dalam mengenal pasti bila dan di mana dokumen tertentu diterima.

Menurutnya, SPRM menyatakan bahawa siasatan kes berkenaan kini di peringkat akhir.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, oleh FIC, dipercayai dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam akvititi bukan perladangan.