Isa Samad anggap ahli lembaga pengarah setuju beli hotel RM160 juta, kata saksi

Isa Samad anggap ahli lembaga pengarah setuju beli hotel RM160 juta, kata saksi

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menganggap cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporations Sdn Bhd (FICSB) apabila tiada bantahan daripada mereka.

Bekas Setiausaha Syarikat FICSB, Ruzeti Emar Mohd Rosli, 45, ketika membaca pernyataan saksinya berkata dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB kali ke-10 pada 29 April 2014 Mohd Isa ada bertanya kepada ALP FICSB yang hadir dalam mesyuarat tersebut: ‘Kita bersetuju ye? Setuju ye?’

“Semua ALP yang lain tidak menyatakan mereka tidak bersetuju maka dianggap sebagai persetujuan sebulat suara oleh ALP FICSB.

“Keputusan telah dibuat untuk membeli hotel tersebut dengan harga tidak melebihi RM160 juta tertakluk kepada rundingan akhir berkenaan dengan harga.

Keputusan ini direkodkan dalam minit mesyuarat tersebut dan disahkan pada mesyuarat berikutnya pada 26 Mei 2014,” katanya pada hari keenam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa berhubung pembelian MPHS oleh FICSB di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata cadangan pembelian MPHS telah ditolak pada Mesyuarat ALP FICSB kelapan tetapi telah dimasukkan semula pada mesyuarat yang ke-10.

“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Zaid Abdul Jalil telah membentangkan Kertas Lembaga Cadangan bagi pembeliaan hotel tersebut dalam mesyurat ke-10 dengan maklumat yang lebih terperinci berbanding pembentangan mesyuarat kelapan,” katanya.

Kepada soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz adakah beliau mendengar Pengerusi (Mohd Isa) memberi apa-apa komen selepas kertas kerja dibentangkan, saksi itu menjawab “Seingat saya, berdasarkan minit mesyuarat tiada bantahan atau apa-apa komen telah disuarakan oleh ALP FICSB. Mereka bersetuju dengan pembelian hotel tersebut.

Afzainizam: Kamu ada dengar mana-mana ALP khususnya CEO maklum kepada ALP mengenai pembelian hotel tersebut perlu dibawa ke ALP Felda untuk kelulusan?

Ruzeti Emar: Tak ingat dengar atau tidak.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin, mewakili Mohd Isa, Ruzeti Emar bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau dan Wong Siew Yeen, 49, yang juga bekas Setiausaha Syarikat FICSB hadir pada Mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

Salehuddin: Adakah kamu setuju perkataan ‘Kita bersetuju ye? Setuju ye’ (Perkataan yang disebut Mohd Isa dalam Mesyuarat ALP FICSB ke-10) datang dari SPRM?

Ruzeti Emar: Tidak

Salehuddin: Adakah kamu dipaksa oleh SPRM untuk setuju bagi tulis perkataan tersebut untuk memperbesarkan atau Tan Sri Isa Samad cuba mempengaruhi mesyuarat tersebut?

Ruzeti Emar: Tidak

Salehuddin: Adakah kamu setuju perenggan 23 (dalam penyataan saksi berhubung “Kita bersetuju ye” mengenai pembelian hotel) tidak betul?

Ruzeti Emar: Tidak setuju.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan masih berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan– BERNAMA