Malaysia Dateline

Isa Samad didapati bersalah terima rasuah RM3 juta

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Keputusan terhadap bekas Pengerusi Felda dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sehingga 2004 itu ditetakan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pihak pembelaan didapati gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas imbangan kemungkinan bahawa penerimaan wang suapan oleh tertuduh seperti dalam sembilan pertuduhan adalah dilakukan secara rasuah sebagai upah membantu menguruskan pembelian hotel tersebut.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh bersifat pemikiran terkemudian, tidak konsisten dan hanya penafian tanpa sokongan yang berasas atau boleh dipercayai.

Mahkamah juga, jelasnya, mendapati pembelan tertuduh dalam konteks keseluruhan keterangan kes juga gagal menimbulkan sebarang keraguaan munasabah.

“Pihak pembelaan dengan ini berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesemua sembilan pertuduhan,” katanya.

Untuk rekod, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Isa, 72, yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 14 Disember 2018.

Kes kontroversi membabitkan pemimpin veteran Umno itu kemudiannya dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober tahun lalu.

Suapan berjumlah RM3.09 juta diterima daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Wang tersebut sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.