Malaysia Dateline

Isa Samad dihukum penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Hukuman ke atas bekas pemimpin veteran Umno dan bekas Pengerusi FELDA itu diputuskan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Isa, 72, dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam tahun bagi sembilan pertuduhan dihadapi selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan terbabit.

Bagaimanapun, hukuman penjara terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diarahkan berjalan serentak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara masing-masing dua tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta.

Suapan itu diterima daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Wang tersebut sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan terhadap Isa Samad dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.