Malaysia Dateline

Isa Samad lantik peguam baharu kes pecah amanah, rasuah RM3 juta

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah melantik peguam baharu, mengendalikan satu kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta dihadapinya, berhubung meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Salehuddin Saidin, pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Pihak kami baru sahaja dilantik oleh anak guam (Mohd Isa). Sebelum ini, peguam yang mengendalikan kes ini ialah Ridha Abdah Subri dan Lavinia Kumaraendran.

“Kedua-dua peguam ini tidak mengendalikan kes ini. Pihak kami akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan,” katanya yang tidak memaklumkan mengapa dua peguam itu tidak lagi mewakili Mohd Isa,70.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan bahawa pendakwaan akan menyerahkan semua dokumen termasuk pernyataan saksi kepada pasukan pembelaan, pada atau sebelum 20 Sept. Mahkamah menetapkan 23 Sept untuk pengurusan kes.

Mohd Nazlan berkata tarikh bicara masih dikekalkan dan tarikh baharu akan ditetapkan, sekiranya perbicaraan tidak dapat dihabiskan pada masa yang dijaduakan itu.

“Tarikh bicara mahkamah masih mengekalkan tarikh sama iaitu 7,8,9 Okt 14,15,16,17,18 dan bersambung 21,22,23,24,25 Okt depan. Representasi pula, sekiranya ada perkembangan boleh maklumkan kepada mahkamah,” kata hakim itu.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.