Malaysia Dateline

Isa Samad sepatutnya disingkirkan, kata ANAK

 

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) mahu Perdana Menteri campur tangan dalam kemelut Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) dan mendesak Datuk Zakaria Arshad mengekalkan jawatannya ketika siasatan Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP) dilakukan.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, ini berikutan Zakaria telah berjaya meningkatkan perolehan syarikat sejak setahun beliau memegang jawatan sebagai Presidenn dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

“Anak mendesak Perdana Menteri campur tangan segera atas kemelut FGV ini. Kekalkan Datuk Zakaria sementara siasatan audit dalaman
terhadap DOP ini dilakukan.

“Anak berpandangan sepanjang setahun ini, setidak tidaknya, beliau berjaya menurunkan kos pengurusan, kos pengeluaran di peringkat ladang juga menurun, hubungan antara kakitangan FGV(19,000 kakitangan)semakin baik dan perolehan syarikat mula meningkat. Ia boleh diteliti melalui laporan FGV yang dibentang baru baru ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Mazlan melahirkan simpati dengan keputusan Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Isa Samad yang mengarahkan Zakaria dan tiga yang lain ‘bercuti’ sementara sementara menunggu isu tunggakan bayaran penjualan minyak sawit bertapis oleh syarikat
Afghanistan, Safitex kepada DOP.

Safitex adalah pelanggan utama DOP lebih 20 tahun. Proses pembayaran dan syarat kredit kepada Safitex telah dilulus dan diguna pakai oleh CEO sebelum Dato’ Zakaria lagi, dengan syarat bayaran dan terma kredit selama 90 hari selepas produk dihantar.

“Datuk Zakaria menjadi CEO FGV pada 1 april 2016, adalah tidak adil jika beliau dipaksa memikul tanggungkawab atas isu tunggakan bayaran Safitex; walhal ia sedang ditangani.

“Anak yakin ada pertelingkahan antara Tan Sri Isa Samad dengan Datuk Zakaria, dimana beliau (Zakaria) dilihat enggan menuruti kehendak pihak tertentu yang disebut ‘ pelaburan besar yang tidak masuk akal’,” ujarnya.

Justeru Anak menyambut baik kesediaan Datuk Zakaria agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan tetapi ujarnya lagi, siasatan dilakukan SPRM itu perlu menyeluruh khususnya sepanjang Isa menjadi Pengerusi Felda dan FGV

“Adalah menjadi tanda tanya, sejauh mana status laporan mengenai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sri Isa yang dihantar ke SPRM sejak sekian lama,”soal Mazlan lagi.

Beliau mendakwa Zakaria adalah mangsa ketiga selepas Datuk Dzulkifli Abd Wahad bekas Pengarah Besar Felda yang disingkirkan @ ekoran perbezaan pandangan mengenai penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

Dzulkifli disisihkan hingga dihantar bertugas ke luar negara sebelum pencen tahun lalu. Imej Dzulkifli yang tercalar teruk tidak dipulihkan, meskipun dilantik sebagai Ahli Lembag Pengarah Felda dan Pengerusi Felda Technoplant Sdn Bhd baru baru ini.

Datuk Faizoull Ahmad, Pengarah Besar Felda yang menggantikan Dzulkifli, adalah orang kepercayaan Isa Samad.

“Beliau (Faizoull) juga menerima nasib yang sama. Di singkir dan di dakwa SPRM hujung tahun lalu.

“Tan Sri Isa adalah Pengerusi DOP, seharusnya beliau mampu menghidu masalah lebih awal dan bukan mengambil tindakan di hujung jalan. Sebahagian Ahli Lembaga Pengarah DOP, adalah juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FGV,” terangya.

Menurut Mazlan lagi, sejak perlantikan Zakaria,57, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden FGV, Anak mengalu alukan beliau.
“Beliau bukan sahaja sebagai anak peneroka Felda Palong 1, tapi pengalaman luas selama 32 tahun dalam Kumpulan Felda. Seharusnya beliau di beri ruang dan peluang diketika FGV bermasalah.

“Hari ini saham FGV terus jatuh, tinggal RM1.66, kejatuhan mendadak yang dipercayai ada kaitan dengan krisis terkini dalam FGV.

“Bagi Anak, tindakan serta merta yang harus dilakukan Datuk Seri Najib ialah Tan Sri Isa yang sepatutnya disingkirkan dari FGV dan apa jua jawatan dalam Felda,” tegasnya.