Malaysia Dateline

Isi rumah 3 anak gaji bawah RM2,500 dapat bantuan BKM RM2,000

Belanjawan 2022 menyaksikan bantuan one-off yang tertinggi iaitu RM2,000 akan disalurkan untuk isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih serta gaji di bawah RM2,500.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata pemberian di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas.

“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan 7 bilion ringgit di bawah BPR,” jelasnya.