Malaysia Dateline

Iskandar nafi sertai PKR, ingin terus bersama Pas tawan Selangor

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A Samad berkata, laporan media bahawa beberapa orang Ahli Dewan Negeri serta pimpinan Pas Selangor akan menyertai PKR adalah tidak benar.

“Pada saya ia adalah satu khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan Pas Selangor menghadapi pilihan raya umum yang dijangka kurang tiga bulan daripada sekarang.

“Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan.

“Saya telah bercakap dengan Ahli Dewan Negeri Pas Selangor dan mereka amat terkejut dengan khabar-khabar angin tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa ahli-ahli Pas Selangor supaya meneruskan tugas masing-masing dan tidak mempercayai sebarang khabar-khabar angin.

“Mereka juga tidak sepatutnya mengulangi atau menyebarkan sebarang berita yang tidak diketahui sumbernya atau kebenarannya.

“Sebarang berita yang berunsur spekulasi perlu diabaikan sahaja.

“Mereka tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi musuh yang mahu persiapan pilihan raya Pas lumpuh,” kata beliau.

Kata beliau lagi, musuh mahu melihat pimpinan dan ahli-ahli Pas curiga-mencurigai antara satu sama lain.