Malaysia Dateline

Islah, penambahbaikan tangani kemelut politik, kata Dr Dzulkefly

Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan gerakan islah dan penambahbaikan perlu segera dilakukan bagi menangani kemelut politik pada masa ini.

“Maka dalam kemelut, kerosakan dan ketidaktentuan politik yang semakin kusut, serta bersimpang-siur ini, masihkah negara dan rakyat punya masa depan?

“Masihkah ada harapan buat anak-cucu generasi mendatang? Ya, tentunya punya harapan, andainya kalau kita segera lakukan islah dan penambahbaikan.

“Yang didambakan rakyat dan umat ini ialah pemurnian-pengislahan kembali amalan politik dan demokrasi yang sihat dan vibrant, tanpa campur tangan atau diheret bersama, lantas turut dicemari institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyeru agar pemujaan atau penghinaan terhadap mana-mana ahli politik dihentikan.

“Mesti dielakkan memuja mana-mana individu legenda atau ikonik, atau sebaliknya menghina serta mencerca keterlanjuran mana-mana sosok tubuh politikus yang sudah rakyat maklumi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar tidak mencari jalan penyelesaian pintas dengan berselindung di sebalik takhta kerana tidak semuanya mudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.