Islam dan Melayu terancam?

Islam dan Melayu terancam?

Baru-baru ini beberapa NGO dan individu telah mengadakan satu perhimpunan yang bertemakan slogan ` Islam dan Melayu Terancam’.

Mereka telah menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan beberapa perkembangan terkini yang dirasakan mengancam agama Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Sebenarnya sama ada kedudukan Islam dan orang Melayu terancam atau tidak di negara ini adalah banyak bergantung kepada persepsi masing-masing.

Bahkan kadangkala pembacaan berkenaan sesuatu perkembangan boleh menghasilkan rumusan yang sangat berbeza. Sebagai contoh, ada di kalangan orang Melayu yang merasakan bahawa kekurangan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan anak-anak muda Melayu adalah satu ancaman kepada bangsa Melayu.

Tetapi saya juga pernah berjumpa orang Melayu yang merasakan bahawa kekurangan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak muda lah yang sebenarnya mengancam kedudukan orang Melayu.
Ini kerana anak muda Melayu tidak akan dapat bersaing dengan berkesan di dalam pasaran pekerjaan, terutama sekali di dalam sektor swasta.

Bahkan di dalam sektor awam pun terdapat pegawai tinggi Melayu yang akan menggunakan kriteria kepetahan berbahasa Inggeris dalam keputusan kenaikan pangkat.

Satu contoh lagi ialah dalam bidang ekonomi dan kewangan. Sekarang ini sistem perbankan atau industri hutang sedang berkembang pesat sehinggakan aset sektor perbankan adalah lebih dari RM2trillion.

Di samping itu terdapat kecenderungan orang Melayu berhutang dengan banyak dari sistem perbankan untuk berbagai tujuan termasuk membeli rumah, berniaga, membeli kereta dan bahkan juga untuk mengadakan majlis perkahwinan. Akibatnya hutang isu rumah sudah melebihi RM1.03 trillion dan komponen hutang orang Melayu mungkin adalah melebihi dari separuh dari jumlah itu.

Bagi sesetengah orang, perkembangan di atas adalah sihat untuk orang Melayu kerana mereka akan mempunyai kereta besar, rumah yang cantik dan juga memiliki syarikat perniagaan walaupun dengan cara berhutang.

Namun bagi saya yang telah mengkaji perkembangan industri hutang di seluruh dunia, saya amat prihatin terhadap natijah atau kesan buruk jangka panjang kepada masyarakat yang tahap hutang adalah tinggi.

Ini termasuk kos kehidupan yang sentiasa meningkat, kadar kelahiran yang menurun, kadar perceraian yang meningkat, masalah sosial yang bertambah dan krisis ekonomi yang kerap berlaku. Oleh itu bagi saya, perkembangan industri perbankan adalah satu ancaman yang amat merbahaya kepada orang Melayu terutama sekali jika orang Melayu terlibat sebagai pemilik atau pekerja dalam industri perbankan. Kebimbangan saya adalah berasaskan firman Allah di dalam ayat 279 Surah Al-Baqarah:

“Maka jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu) maka ketahuilah Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Sudah tentu amaran ‘Perang’ oleh Allah swt dalam ayat di atas adalah ancaman yang sangat berat. Namun jika diperhatikan, ramai orang Melayu langsung tidak bimbang dengan perkembangan industri perbankan dan kenaikan tahap hutang dalam masyarakat Melayu.

Bahkan di dalam perhimpunan `Islam dan Melayu Terancam’ baru-baru ini, isu penglibatan umat Melayu Islam dalam industri Riba yang terkutuk ini langsung tidak disentuh walaupun bagi saya ianya jauh lebih penting berbanding isu penggunaan Bahasa Melayu di kalangan anak muda.

Jelaslah bahawa sebenarnya persepsi ancaman ini adalah sangat bergantung kepada latar belakang masing masing. Mungkin sebab utama kenapa ramai tidak memberi perhatian kepada ancaman dari Allah berkenaan isu Riba dan industri hutang ini adalah akibat dari KEJAHILAN mereka tentang isu ini.

Dalam keadaan orang Melayu mempunyai latar belakang dan kefahaman yang berbeza-beza tentang berbagai-bagai isu di negara kita, tidak hairanlah terdapat konflik dan perbalahan yang kadang-kadang agak hangat.

Cara menyelesaikan nya ialah melalui dialog dan perbincangan secara aman dengan menggunakan ruang demokrasi yang semakin luas terbuka semenjak kemenangan PH dalam PRU14 yang lepas. Kerajaan PH telah berjanji akan memastikan bahawa kebebasan untuk bersuara tidak akan disekat.

Oleh itu sama-sama lah kita merebut ruang keterbukaan ini untuk menyedarkan orang-orang Melayu tentang berbagai ancaman yang wujud terhadap agama dan bangsa kita termasuk ancaman di dalam bentuk amalan rasuah yang berleluasa, penggunaan dadah, hubungan jenis luar nikah, budaya LGBT dan lain-lain. Sudah tentu usaha dakwah dan tarbiah adalah antara elemen yang amat penting dalam usaha-usaha ini.

Semoga Allah swt akan sentiasa membantu usaha-usaha kita membela Islam dan umat Islam di negara tercinta kita ini demi kebaikan dunia dan akhirat bagi kita dan juga bagi generasi-generasi yang akan datang.

*Penulis adalah KetuaBiro Penyelidikan IKRAM.

CATEGORIES
TAGS