Malaysia Dateline

Islam dan PH berpisah tiada, kata Mujahid

Naib Presiden AMANAH., Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir pada 17hb Mei baru ini memberi sinar cerah prospek pentadbiran Islam di Malaysia.

Katanya, kenyataan PM bahawa perjalanan Islam di Malaysia mesti mengikut ajaran al-Quran yang sebenar dan Hadis yang sahih adalah ketegasan paling meyakinkan bahawa Islam dan PH berpisah tiada.

Jelasnya, kenyataan Tun Mahathir selaku PM membuka ruang untuk saya menegaskan beberapa perkara tentang PH dan pentadbiran Islam di Malaysia.

“Pertama, komitmen kepada artikel 3 tentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagai teras negara ini sentiasa dibela dan dijamin oleh PH.

“Adalah penting untuk membuat pengisian Islam lewat kemunculan politik baharu melalui pendekatan yang lebih inklusif dan progresif.

“Kedua, pemberdayaan institusi Islam dan agensi Islam yang bergerak dalam kerangka kerajaan baharu disuntik dengan nilai Islah/Reform dari sudut ruh dan pengisiannya seperti Jakim, Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Zakat, Waqaf, Yadim dan lain-lain.

“Kesemua institusi ini jika berjaya dibaikpulih melalui pelan tindakan Islah besar-besaran akan memantulkan pentadbiran Islam yang kompeten dan berwibawa justeru dihormati dan dipandang tinggi,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam kenyataannya hari ini.

Tambah beliau, tema besar yang menjelaskan hasrat PM ialah membumikan Islam yang penuh Rahmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama kerana itu adalah ajaran Islam sebenar.

Katanya, segmentasi Islam hanya untuk orang Islam sebelumnya, kini melalui PH akan dirungkaikan kepada nilai keterangkuman sejagat walaupun persoalan kepercayaan dan ritual kekal dalam daerah khusus masing-masing.

Begitu juga peranan Maqasid Syariah dalam kerajaan PH akan membuka ruang agar pentadbiran negara keseluruhannya tidak akan bercanggah dengan prinsip-prinsipa teras Islam,” katanya.

Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan PH melalui pentadbiran Islam untuk mencapai keharmonian kaum dan agama dengan membudayakan dialog antara agama yang sihat dan aktiviti kemanusiaan lain yang diizinkan oleh agama.
“Kita mahu melihat Islam dan agama lain yang bebas diamalkan di Malaysia bergabung tenaga membentuk negara yang aman dan sejahtera.

“Unsur kebencian antara agama melalui apa sahaja medium tidak boleh ditolak-ansur kerana bakal menggugat asal kerencaman agama yang terdapat didalam struktur negara kita,” kata beliau.

(Kenyataan penuh beliau boleh dilihat dalam ruangan Kolumnis – Malaysia Dateline)