Islam di Pulau Pinang adalah rahmat bukan taliban

Islam di Pulau Pinang adalah rahmat bukan taliban

ULASAN: Islam adalah agama yang menekankan konsep pemberian hak kepada yang berhak (al-Bukhari, hadis no : 1968). Islam juga mengajar bahawa non muslim tidak boleh dipaksa untuk amalkan ajaran Islam (al-Baqarah, ayat 256). Tidak boleh halang non muslim amalkan agama mereka, dan muslim dibebaskan mengamalkan agama Islam juga tuntutan Islam (Surah al-Kafirun, ayat 6). Turut ditekankan dalam Islam bahawa larangan menzalimi non muslim, larangan menafikan hak mereka, larangan membebankan kepada mereka perkara yang tidak patut. Malahan, Nabi saw menjelaskan bahawa Baginda saw bersedia menjadi pembela untuk non muslim yang dizalimi muslim pada akhirat kelak. (Abu Daud, hadis no : 3052)

Dari sudut sejarah, pendekatan Taliban ternyata menyanggahi prinsip Islam yang merupakan agama rahmat.

Antara pendekatan Taliban semasa memerintah Afghanistan dahulu adalah menafikan hak non muslim untuk bebas mengamalkan agama mereka. Kami percaya, bukan kami dari Pulau Pinang sahaja, bahkan Johor menerusi kenyataan Tuanku Sultan juga amat jelas menolak pendekatan Taliban ini.

Pendekatan Islam di Pulau Pinang, bukan sekadar menolak Taliban bahkan mengamalkan pendekatan rahmat dan berkebajikan.

Ekoran itu, semenjak 2008 sehingga 2016 sahaja, kerajaan Pulau Pinang memberikan bantuan sebanyak RM15.55 Juta sebagai bantuan khas kepada guru KAFA, guru SAR, Tahfiz, guru pondok dan TADIS. Begitu juga peruntukan pembangunan Hal Ehwal Islam agama islam lebih tinggi dari 100 peratus berbanding kerajaan BN dahulu, iaitu sebanyak RM50 juta setiap tahun dan banyak lagi.

Pendekatan Islam rahmat yang diamalkan di Pulau Pinang juga memberikan ruangan kepada sesiapa sahaja berceramah agama di Pulau Pinang selama tidak melahirkan permusuhan dan menyeru kepada keganasan dan kejahatan. Ekoran itu, banyak ustaz-ustaz dari dalam, malahan dari luar Pulau Pinang, termasuk ustaz-ustaz dari parti Pas dan Umno bebas berceramah di Pulau Pinang, walaupun kadangkala mereka memfitnah kerajaan yang menyebabkan kami bersedih.

Kami yakin bahawa pendekatan ini amat jauh dengan pendekatan Taliban. Makanya, dengan pendekatan Al-Quran dan hadis, kami tidak akan memaksa non Muslim untuk mengamalkan agama Islam.
Justeru, non Muslim tidak akan dihalang, bahkan diberikan ruangan untuk mengadakan sebarang program yang melibatkan kalangan non muslim sahaja seperti Oktoberfest dengan terikat dengan syarat-syarat yang dikenakan kerajaan seperti tidak menganggu ketenteraman awam dan kerosakan.

Dengan menolak pendekatan Taliban, kami akan hadapi sebarang permasalahan dengan sifat berbincang, hormati hak dan saling harmoni.

Ekoran itu, isu kesilapan rakan-rakan Non Muslim memukul gendang yang berlaku berhampiran masjid Maqbul, Sungai Pinang baru-baru ini berjaya diselesaikan dengan aman damai dan saling hormat menghormati.

Namun dukacitanya, dengan menolak pendekatan Taliban, kami difitnah sebagai anti islam. Lebih parah, menuduh kami membuat provokasi dan penghinaan terhadap agama. Yang pasti, Kami hanya menyeru atas prinsip aman damai dan saling hormat menghormati sesama masyarakat dan memastikan semua pihak mendapatkan hak masing-masing.

Kami yakin pendekatan rakyat Pulau Pinang ini adalah pendekatan yang terbaik untuk menyuburkan budaya masyarakat yang sihat. Dan kami tidak pernah menolak untuk belajar kebaikan dari masyarakat di luar Pulau Pinang. Yang penting, kami mahu menyuburkan kebaikan pada semua pihak dalam negeri ini.

* Penulis adalah Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES