Malaysia Dateline

Islam dituduh pembawa wabak, ulama seluruh dunia diseru bertindak

Ulama seluruh dunia diseru untuk segera menangani isu kempen Islamophobia yang sedang dilancarkan golongan fanatik ekstrem yang didakwa cuba mengambil kesempatan atas penularan ancaman Covid-19 untuk menyebarkan kebencian terhadap Muslim.

Dalam satu kenyataan bersama antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), tuduhan Muslim sebagai punca wabak, mula disebarluas di India, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah yang lain.

Menurutnya, dalam kecamuk dunia mencari penyelesaian kepada wabak yang menular, ulama perlu menampilkan pandangan bernas dari perspektif Islam sebagai alternatif kepada dunia untuk mencegah agenda yang membarah.

“Dalam krisis yang berskala global inilah, Islam boleh ditampilkan dari pelbagai aspek kesihatan, budaya hidup, kestabilan emosi dan rohani, sistem ekonomi dan sosial serta pengurusan sumber.

“Lebih serius semua ulama perlu tangani kempen membenci Muslim ketika wabak ini menular di seluruh dunia dengan tuduhan Muslim sebagai punca wabak terutama di India dan di UK.

“Kami menyeru supaya setiap ulama menjadi pemimpin umat dikala dunia didominasi oleh kuasa barat yang mahu meraih pengaruh politik dunia pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat antara Pengerusi SHURA, Datuk Abdul Ghani Samsuddin dan Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sementara itu, kedua-dua pertubuhan tersebut melahirkan rasa kesal dalam keadaan wabak yang sedang memuncak, terdapat pemimpin Islam masih diperalatkan kuasa barat yang mengadu-domba antara negara Islam seperti di Yemen, Syria, Libya, dan Iraq.

Malah, tegasnya, wabak itu juga sama sekali tidak menginsafkan pemimpin negara Islam untuk menghentikan konflik yang berlaku.

Sebaliknya katanya, ribuan umat Islam awam terus diserang di negara-negara tersebut sehingga keadaan semakin kritikal.

“Justeru kami menggesa agar satu sidang atas talian antara ulama sedunia mengenai isu wabak ini diadakan untuk menghasilkan rumusan yang boleh diketengahkan kepada dunia.

“Kami menyeru semua konflik di negara-negara Islam berhenti serta-merta dan membebaskan diri dari menjadi boneka kepada kuasa barat dan zionis israel,” tegasnya.