Islam larang cenderung pada kezaliman tapi Pas bersekongkol dengan Umno

Islam larang cenderung pada kezaliman tapi Pas bersekongkol dengan Umno

Sikap Pas yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 bukti mereka juga sudah bersekongkol dengan Umno bagi menutup segala kepincangan pentadbiran kerajaan pada masa ini, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali yang memberi jaminan Pas akan bersikap adil dalam melaksanakan undang-undang itu menunjukkan sikap sebenar Pas sebagai ‘king maker’ untuk bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Di samping itu, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa undang-undang ini menepati ciri-ciri Islam jauh meleset kerana Islam melarang umatnya untuk cenderung kepada kezaliman seperti mana firman Allah di Surah Hud, ayat 113.

“Sebaiknya, nas agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik,” tegasnya dalam satu kenyataan mengulas pendirian 10 Ahli Parlimen Pas antara 123 wakil rakyat yang menyokong RUU tersebut diluluskan melalui undi belah bahagian pada 2 April lalu.

Beliau berpendapat undang-undang terbaharu kerajaan kleptokrasi Umno-BN itu dilihat bersifat drakonian kerana menyekat kebebasan rakyat terutama pemimpin pembangkang dan media dalam menerbitkan berita-berita benar tentang kepincangan pentadbiran kerajaan tetapi dianggap palsu oleh kerajaan.

“Kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan semakin hari semakin terhakis.

“Undang-undang ini juga dilihat digubal bagi melindungi skandal-skandal korupsi dan salah laku pemimpin kerajaan di mana Seksyen 7 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk membuang berita yang disahkan palsu,” ujarnya.

Mengulas lanjut RUU yang ditolak 64 Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Warisan itu, Faiz berkata, kebenaran skandal kemasukan RM2.6 bilion wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak boleh dianggap palsu oleh kerajaan.

Hal ini memandangkan, jelasnya, skandal tersebut telah pun dibersihkan oleh autoriti yang dikuasai Perdana Menteri seperti pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dengan itu, undang-undang ini jelas sekali akan disalahgunakan kerajaan Barisan Nasional pimpinan kleptokrat Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak untuk memadamkan berita berkaitan skandal tersebut daripada terus diterbitkan untuk pengetahuan umum.

“Undang-undang zalim sebegini seharusnya ditentang habis-habisan oleh rakyat. Kenaikan kos sara hidup akibat pelbagai skandal korupsi berbilion ringgit hari ini akan berterusan jika rakyat dinafikan hak bersuara dan hak untuk mengetahui maklumat sebenar kerana amalan rasuah dan penyelewengan pentadbiran kerajaan akan dibisukan tanpa dapat ditentang,” tegas Faiz lagi.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dilihat diperkenalkan kerajaan secara tergesa-gesa untuk menghadapi PRU-14 selepas skandal kleptokrasi 1MDB hangat dibangkitkan oleh sejumlah media antarabangsa.

Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen pada 2 April lalu berkata, tidak wujud soal ‘pendakwaan berpilih’ tetapi banyak pihak termasuk pengamal undang-undang bimbang peruntukan itu akan membenarkan menteri atau kerajaan memutuskan apa yang benar dan palsu.

8.4
OVERALL SCORE
: 9.0
4 user votes x 8.3
CATEGORIES
TAGS