Islam promosi sopan santun, rasional dan rahmah, bukan kekerasan

Islam promosi sopan santun, rasional dan rahmah, bukan kekerasan

 

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menolak pendekatan kekerasan dan keganasan dalam usaha merubah masyarakat dan pemerintahan negara ini.

Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pendekatan kekerasan akan hanya menyemarakkan permusuhan dalam masyarakat selain berbahaya kerana anasir dalam dan luar boleh mengambil kesempatan untuk menghancurkan negara.

“Kita menekankan usaha damai untuk mewujudkan perubahan dalam masyarakat dan negara.

“Rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum yang kebanyakannya terpelajar seharusnya menolak pendekatan kekerasan dan menerima pendekataan aman. Walaupun perubahan mengambil masa yang mungkin panjang tetapi ia selamat dan lebih pasti,” kata beliau kepada pemberita di Perhimpunan Ahli Teras (PAT) 2016 Ikram di Shah Alam, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Parid berkata, Ikram menganjurkan usaha yang aman melalui perbincangan dan dialog dalam menangani perbezaan dan kepelbagaian.

“Ikram menyuarakan pandangan kita kepada orang ramai dengan mengutarakan hujah-hujah yang melatarbelakangi sesuatu pendirian yang kita ambil.

“Tujuan kita ialah untuk membawa mereka menerima pemikiran yang rasional dan berada dalam situasi pemikiran sehingga mereka dapat menerima atau bersama dengan agenda yang kita bawa,” katanya sambil menambah, Ikram turut mengajak dan membimbing masyarakat untuk memahami, menerima dan menghayati Islam sebagai panduan kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Pada tahun 2014, Ikram mencetuskan idea pembentukan Malaysia sebagai negara rahmah bagi menangani isu berkaitan perhubungan etnik dan agama di negara ini.

“Negara rahmah adalah negara yang memberi pembelaan dan santunan kepada semua rakyat dan masyarakat sehingga tiada yang membezakan antara satu sama lain atas asas kaum dan keturunan, bersikap adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat.

“Kita mengambil pendekatan rahmah, pendekatan islah dan menambahbaik bukan pendekatan membalas dendam, pendekatan menghukum golongan yang tidak boleh menerima pemikiran dan kepimpinan kita,” ujarnya.

Beliau juga memberi contoh pendekatan kekerasan di negara luar bergolak yang menyebabkan krisis berpanjangan dan ramai rakyat terkorban dalam kemusnahan yang besar.

“Di negara luar termasuk di Timur Tengah terdapat golongan rakyat yang mencetuskan keganasan. Golongan ini biasanya menolak perbincangan dan dialog, mengutamakan pandangan mereka sahaja dan tidak mahu melihat pengalaman orang lain.”

“Mereka mewajarkan pandangan mereka sendiri yang keras dan bersikap suka menghukum golongan lain malahan mengatakan golongan lain perlu dihapuskan. Mereka bertindak kejam kepada anggota masyarakat yang tidak menerima pandangan mereka. Selalunya negara ini akan berhadapan dengan krisis yang berpanjangan, ramai rakyat terkorban dan kemusnahan yang amat besar. Perkara ini mesti dielakkan di Malaysia.” tegasnya.

TAGS