Malaysia Dateline

Isma bantah cadangan lantik Azhar dan Azalina di Dewan Rakyat

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam konservatif membantah cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya.

Presidennya, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataannya menyanarai kenyataan Azhar sebelum ini yang disifatkan tidak akan memberikan kelebihan kepada agenda Islam dan Melayu di parlimen.

“Saya tiada masalah untuk menggantikan Speaker yang lama iaitu Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kepada seorang speaker yang baharu kerana saya faham akan keperluannya.

“Tetapi melantik Azhar Harun pada pendapat saya, merupakan satu keputusan yang boleh dipertikaikan dan harus dibantah berdasarkan kontroversi-kontroversi yang ada pada dirinya. Kita mengharapkan yang dilantik nanti adalah tokoh yang dapat membantu menguatkan agenda Islam dan Melayu di parlimen,” kata Aminuddin.

Antara yang disenaraikan Aminuddin adalah Azhar mempertahankan penganjuran pesta arak October Fest, menyokong transgander, mempertahankan G25 dan Sister in Islam (SIS) dan mengaitkan pengundi luar Kelantan dengan ‘kaki kelab’.

“Saya harap anda semua dapat menyuarakan mengenai perkara ini juga keranya ianya sangat penting. Mudah-mudahan kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan ini. InsyaAllah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengesahkan Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun telah meletak jawatan berkuasa-kuasa pada 29 Jun lalu.

Menurut SPR, peletakan jawatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.