Isma nafi terbabit anjur himpunan di Kuil hari ini

Isma nafi terbabit anjur himpunan di Kuil hari ini

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam menganjur demonstrasi dan berarak ke Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, hari ini.

Memetik laporan rasmi Ismaweb.net hari ini, Presiden Isma, Aminuddin Yahaya berkata, Isma tidak pernah menganjurkan atau terbabit dengan sebarang gerakan protes seumpama itu.

Terdahulu, satu poster mengenai demonstrasi ke Kuil Sri Maha Mariamman tersebar, dengan mengaitkan Isma antara penganjur bersama gerakan itu.

Selain Isma, poster bertajuk ‘Semboyan Pahlawan Melayu’ itu turut memaparkan beberapa logo pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, termasuk parti politik Pas dan Umno.

Ia menyatakan bahawa gerakan itu akan berkumpul di stesen minyak USJ25 dan berarak ke kuil, hari ini.

Mengulas perkara itu, Aminuddin menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkan Isma dengan gerakan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab, selain sengaja mahu mengheret pertubuhan Islam ini untuk dilihat sebagai ekstremis.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak tidak bertanggungjawab berhenti mengaitkan Isma dengan gerakan-gerakan seumpama itu, yang hanya memberikan pandangan negatif masyarakat terhadap Isma.

“Saya turut meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dan percaya dengan perkara seumpama ini,” katanya.