Isma sokong Pas wujud blok politik ketiga

Isma sokong Pas wujud blok politik ketiga

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pertubuhan bukan kerajaan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bersetuju dengan langkah Pas mewujudkan blok politik ketiga bagi menghadapi pilihan raya umum ke -14.

Presidennya Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, pihaknya bersedia menimbangkan kerjasasama dengan Pas jika ia memberi kebaikan kepada politik Islam dan orang Melayu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum menerima apa-apa tawaran dari Pas mengenai perkara itu.

“Kita belum dimaklumkan mengenai perkara ini. Secara rasmi kita belum ada makluman, hanya tahu melalui suratkhabar dan Isma pun tak tahu Pas hendak jemput kita atau tidak.

“Saya setuju dengan blok politik ketiga, ini satu pendekatan yang bagus, satu langkah yang munasabah yang Pas buat.

“Kita akan pertimbangkan apa-apa pilihan tetapi ukuran kita adalah kalau kita nampak dengan cara itu dapat mengukuhkan politik Islam dan Melayu kita akan pertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.

Ditanya sama ada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) akan menyertai blok politik ketiga atau tidak, Abdullah berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Berjasa saya tak pasti sebab dia ada presiden sendiri. Berjasa pun belum bagitahu apa-apa kepada Isma,” katanya.

Isma pernah bertanding menggunakan tiket Berjasa pada pilihan raya umum lalu.

Khamis lalu, setiausaha agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Beliau berkata blok politik ketiga diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Abdullah berkata, Isma tidak masuk campur dalam Deklarasi Rakyat namun menyokong apa sahaja langkah yang membawa Malaysia ke arah lebih baik.

“Deklarasi Rakyat kami tak masuk campur. Kita sokong secara umum apa-apa langkah yang membawa Malaysia ke arah lebih baik dan krisis politik yang ada sekarang ini perlu diselesaikan dan Malaysia perlu keluar daripada kemelut politik sekarang.

“Apa-apa usaha yang menjurus ke arah yang positif seperti itu kita alu-alukan tetapi kami tidak terlibat dalam hal apa-apa posisi politik yang ada sekarang.

“Sebagai NGO kita mengharapkan satu gerakan yang boleh menyelesaikan apa-apa kekusutan yang dihadapi negara,” katanya.

TAGS