Pada 30 Mei 2018, Jemaah Menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan Kerajaan di pelbagai kementerian.
Antara terma rujukan yang dibuat oleh Kabinet ketika itu adalah untuk mengenalpasti dan menentukan semua perolehan dan pembelian termasuk senggaraan dan pembaikan aset yang mencurigakan di Kementerian Pertahanan dan Kementerian-Kementerian yang berkaitan untuk tujuan siasatan; mengenalpasti dan menyiasat semua perolehan, pembelian senggaraan dan pembaikan yang mencurigakan.
JKSTUPKK ini juga akan mengenalpasti sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.
Selain itu, JKSTUPKK ini akan mengenal pasti kerugian kerajaan di dalam urus niaga penjualan dan land swap tanah-tanah milik kerajaan dan memberikan cadangan balas kepada kerajaan dan kaedah memperkemas tadbir urus kewangan yang lebih baik serta membasmi ketirisan wang negara.
Perdana Menteri ketika itu telah melantik Tan Sri Ambrin Buang, bekas Ketua Audit Negara untuk mengetuai siasatan ini dibantu oleh beberapa ahli jawatankuasa yang berkaliber dan mempunyai pelbagai latar belakang seperti perundangan, perakaunan, pengauditan dan ketenteraan. Selain itu, sekretariat yang dilantik juga adalah orang yang berpangkat Jusa yang tentunya sudah mahir dengan sistem perolehan dan tadbir urus kerajaan.
Sepanjang operasi JKSTUPKK ini banyak laporan telah dihantar kepada pelbagai kementerian khasnya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Malah, pada 9 Mei 2010 Menteri Pertahanan telah mengeluarkan satu surat penghargaan kepada JKSTUPKK ini yang telah mengemukakan 16 siasatan ke atas land swap dari bulan Mei sehingga Disember 2018 yang melibatkan hampir 3,000 ekar tanah Kementerian Pertahanan melibatkan nilai RM4.8 bilion.
Hasil dapatan JKTUPKK ini mendapati bahawa berlaku kerugian dan ketirisan yang melibatkan nilai RM500 juta wang kerajaan.
JKTUPKK ini juga turut menjalankan siasatan ke atas perolehan aset lain seperti helikopter tempur, kapal LCS dan LMS, perolehan aset Ops Daulat (semasa pencerobohan Sulu di Sabah), perolehan pakaian seragam, kapal selam Scorpene dan lain-lain yang melibatkan wang kerajaan berbelas bilion ringgit lagi.
JKTUPKK ini juga turut menerima laporan mengenai pemindahan pengundi tentera yang dilakukan sebelum PRU 14 yang melibatkan Parlimen Bera, Sembrong dan Bagan Datoh.
Bagi Kementerian Pengangkutan, laporan juga telah dibuat mengenai pengambilan syarikat yang berkaitan dengan projek AES yang mana melibatkan pembayaran berjumlah RM555 juta kepada syarikat tersebut yang dibiayai dengan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Difahamkan Bank Negara juga telah melakukan money trail terhadap wang tersebut yang mana didapati berlaku pembayaran kepada orang yang tidak kena mengena dengan syarikat dan pembayaran telah dibuat di luar negara. Ini menimbulkan kecurigaan mengenai ketelusan projek ini sendiri yang telah merugikan wang kerajaan.
Antara jasa JKSTUPKK yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat negara ini adalah berkaitan dengan projek 1BestariNet yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
Baru-baru ini Maszlee Malek telah mendedahkan bagaimana beliau mempertahankan pandangan Kementerian Pendidikan pada ketika itu untuk tidak menyambung kontrak dengan YTL. Projek 1BestariNet adalah projek sakit dan gagal mencapai objektif untuk meningkatkan pembelajaran secara internet.
Malah, Kementerian Pendidikan terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit kerana terpaksa membuat bayaran yang tidak setimpal dengan manfaat yang diperolehi. Setelah itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah memilih untuk menggunakan platform Google Education yang jauh lebih kos efektif.
Kini, apabila negara dilanda Covid-19, ratusan ribu murid telah mendapat manfaat untuk pembelajaran secara PdPR dengan menggunakan platform Google Education ini yang mana usaha ini telah dimulakan semasa Maszlee Malek menjadi Menteri Pendidikan.
Hasil siasatan yang dibuat oleh JKSTUPKK ini telah dihantar kepada semua kementerian yang terlibat untuk diambil tindakan. Beberapa laporan polis dan SPRM juga telah dibuat. Namun, sehingga kini tidak diketahui apakah status laporan polis dan SPRM yang dibuat itu.
Baru-baru ini dikhabarkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri kesembilan sudah memutuskan untuk membubarkan JKSTUPKK walaupun prestasi JKSTUPKK ini adalah cemerlang.
Keseluruhan kontrak ahli jawatankuasa ini sudah tidak disambung lagi selepas bulan Julai, 2021. Sehingga kini, difahamkan bahawa keputusan yang dibuat itu masih belum ada hitam putih sehingga menyebabkan penempatan semula pegawai kerajaan yang menjadi sekretariat belum dapat dibuat oleh JPA.
Ini menyebabkan kerugian kepada sumber manusia meskipun ramai di kalangan sekretariat itu adalah berpangkat tinggi seperti Jusa, Gred 54, 48 dan 44.
Apakah Perdana Menteri mempunyai agenda lain untuk menukarkan JKSTUPKK dengan jawatankuasa lain yang bersifat politik dengan menggunakan waran perjawatan yang sama?
Difahamkan bahawa jawatankuasa ini sendiri diperuntukkan dengan belanjawan hampir RM10 juta setahun. Dengan peruntukan yang sebegini besar pastinya kedudukan jawatankuasa ini amat strategik dan boleh digunakan untuk tujuan politik.
Kedudukan integriti kerajaan khasnya indeks rasuah yang merudum selepas Langkah Sheraton amat teruk. Kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah pada tahun 2017 adalah pada ranking 62 dengan skor 47.
Pada 2018, Malaysia menduduki ranking 61 dengan skor 47. Setelah kerajaan PH mengambilalih kerajaan ranking Malaysia telah bertambah baik secara mendadak kepada ranking 51 dengan skor 53.
Bayangkan berlaku kenaikan ranking daripada nombor 61 ke 51 adalah satu perkara yang sihat bagi negara ini. Namun, setelah Langkah Sheraton ranking Malaysia telah jatuh ke ranking 57/180 dengan skor 51/100.
Justeru, dengan pembubaran JKSTUPKK ini maka tidak hairan sekiranya ranking Malaysia akan bertambah merudum pada tahun 2021 ini kelak. Untuk rekod, laporan indeks persepsi rasuah bagi tahun 2021 ini hanya akan dibuat pada tahun 2022.
Tambahan pula, dengan penguatkuasaan darurat sepanjang beberapa bulan tahun ini akan memburukkan lagi persepsi rasuah kerana perolehan kerajaan yang dibuat sepanjang tempoh darurat itu tidak pernah dibentangkan di Parlimen walaupun berbilion-bilion wang kerajaan telah dibelanjakan.
Malah, apabila ditimbulkan perbelanjaan yang bernilai RM38 juta bagi pembaikkan kediaman Perdana Menteri dalam tempoh darurat juga amat mengejutkan semua pihak.
Sekurang-kurangnya JKSTUPKK ini jika dibenarkan untuk terus berfungsi maka ianya akan menjadi satu mekanisme semak dan imbang perbelanjaan kerajaan secara dalaman kerana JKSTUPKK ini mempunyai fungsi yang berbeza dengan Jabatan Audit Negara.