Malaysia Dateline

Ismail ‘cakap tak serupa bikin’, tapi naik jadi TPM

Ada yang membidas, tidak baik selalu menyelar dan menempelak pemimpin kerajaan, sedangkan apa yang diberikan tidak pula ditolak.

Kata mereka, kerajaan sudah melakukan pelbagai perkara untuk kebaikan rakyat. Mengapa mahu merungut dan membangkang?

Sebenarnya, pengkritik dan penghentam itu bukanlah suka sangat berbuat sedemikian. Mereka juga tidak membelasah tanpa sebab yang munasabah.

Mengambil apa yang diberikan oleh kerajaan kerana itu memang hak rakyat. Wang ringgit yang diterima itu bukan hak Perdana Menteri (PM) atau menteri Kabinet.

Namun begitu, patutkah bersabar dan berdiam diri jika keadaan semakin lama semakin parah, dan tiada satu pun yang kerajaan sekarang lakukan bermanfaat besar kepada rakyat?

Rakyat semakin marah ketika suara pemimpin Pas yang lantang sebelum menjadi kerajaan, kian tenggelam. Kecuali untuk perkara yang menguntungkannya, dan menolak idea baik pihak lain seperti kempen mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.

Antara pemimpin Pas yang membangkang kempen bendera tersebut: Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdulah Mat Nawi; serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, dan Mokhtar Senik; Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Tiada orang waras yang mengatakannya buruk. Saya fikir, idea mengibarkan bendera putih itu ditentang kerana yang mencetuskannya ialah Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negeri Kelantan, Nik Faizah Nik Othman atau Kak Jah.

Jadi, saya fikir idea hebat Kak Jah ini dibangkang dan diperlekeh kerana beliau ahli AMANAH, parti yang sangat dimusuhi Pas selepas DAP.

Pada 7 Julai lalu pula, PM Tan Sri Mahiaddin Md Yasin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Apa rasional Mahiaddin mengangkat Ahli Parlimen Bera itu ketika semakin ramai rakyat hidup terhimpit dan tersepit?

Sama ada Mahiaddin melantik Ismail untuk menyelamatkan dirinya ataupun strategi memecahbelahkan Umno seperti yang dijangka para pemerhati politik, nsmun pelantikan tersebut tetap membazirkan wang rakyat dan negara.

Sementelah Ismail Sabri masih lagi Menteri Pertahanan. Mahiaddin tambah memburukkan keadaan apabila melantik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Hishammuddin juga tidak berwibawa sebagaimana Ismail. Ertinya, saiz kabinet Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin semakin besar. Sebelum ini tiada jawatan TPM tetapi ada empat menteri kanan.

Setelah Hishammuddin ‘masuk’, maknanya Kabinet sekarang ada seorang TPM, ditambah empat menteri kanan! Selama ini kita mengharapkan pengecilan saiz Kabinet. Malangnya, semakin besar!

Sudah terang lagi bersuluh Ismail gagal dalam tugasnya mengendalikan Covid-19 sejak Mac 2020, tetapi beliau dilantik pula menjadi TPM. Dalam kata lain, naik pangkat sehingga netizen mempersenda dengan mengatakan ‘kes meningkat, tetapi boleh naik pangkat.

Mahiaddin mengatakan Ismail dilantik kerana berpengalaman luas dan boleh membantu beliau mengurus pentadbiran negara.

Dalam kata lain, sumbangan Ismail diharap dapat memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

Kelakar (berbaur sedih) kerana orang yang telah gagal diharapkan dapat membantu.

Tidakkah Mahiaddin sedar Ismail (gagal dalam tugasnya selama lebih setahun) juga bertanggungjawab atas kenaikan semula kes Covid-19 selepas PRN Sabah, 26 September 2020 kerana tidak menegaskan peraturan kuarantin.

Sumbangan apa yang Ismail boleh berikan? Sumbangannya kepada negara selama lebih setahun lalu pun sumbang! Sepatutnya Ismail meletakkan jawatan, bukan menerima kenaikan jawatan!

Tetapi, itulah. Budaya meletakkan jawatan kerana berasa tanggungjawab atas kegagalan menunaikan amanah tugas belum wujud dalam kalangan menteri di negara kita. Ismail wajar berundur jika beliau ada harga diri.

Apakah malangnya negara dan rakyat Malaysia ada PM ke-8, dan TPM ke-13 yang sedemikian.

Saya ada bertanya di Facebook kelmarin sama ada rakan-rakan mahu ketawa atau marah melihat Ismail dalam sidang medianya pada 11 Julai lalu meminta ahli politik Malaysia berhenti bermain politik, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian pada masalah rakyat.

Siapa yang bermain politik tanpa henti selama ini walaupun telah diminta berhenti daripada berbuat sedemikian oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah?

Ismail sebelum dan selepas 7 Julai beberapa kali mengadakan mesyuarat tertutup Umno mengenai kepentingan politik.

Sudahlah membelakangi permintaan YDPA dan melanggar SOP PKPD. Beliau menggunakan pula Wisma Perwira di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu hak milik kerajaan untuk urusan hidup mati parti politik!

TPM beginikah yang kita semua mahukan? Para pemimpin Kerajaan PN seperti sudah sakit otak dan tidak tahu malu – dari PM sehinggalah TPM, menteri dan timbalan menterinya.

Mungkinkah ini kerana ‘dosa’ naik berkuasa menjadi kerajaan dengan cara yang kotor!

Mengenai ‘cakap tak serupa bikin’ Ismail ini, saya memetik bidasan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin menegaskan Ismail perlu menasihati Mahiaddin dan pimpinan parti-parti dalam PN agar berhenti berpolitik. Pelantikan Ismail juga, kata beliau, tidak memberi faedah kepada rakyat sama ada Mahiaddin melantiknya bukan untuk kepentingan diri, atau memang sedemikian.

Dalam satu kenyataannya, beliau menyindir dengan berkata; ‘TPM berpesan usah berpolitik, tumpu lawan Covid. (Tetapi) Umno tarik sokongan (terhadap Muhyiddin) tak ada kena mengena lawan Covid’.

“PM lantik Ismail jadi TPM tak ada kaitan lawan Covid. Bahkan sekelumit pun tak ada faedah kepada rakyat. Ini hanya langkah PM nak selamatkan diri bukan selamatkan rakyat,” kata Saifuddin.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai lalu mengumumkan partinya menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin dan menuntutnya meletakkan jawatan serta-merta.

Ketika ini, Umno ada 38 Ahli Parlimen tetapi sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan penyingkiran Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu.

Beberapa jam sebelum sokongan Umno ditarik balik, Mahiaddin menaikkan pangkat Ismail, Naib Presiden Umno dari menteri kanan kepada TPM.

Sindir Saifuddin, Kerajaan PN ada masa lebih setengah tahun untuk memerangi Covid-19 dengan memiliki kuasa yang luas apabila Parlimen digantung. Oleh kerana Parlimen ditutup, tiada lagi semak imbang.

Dalam tempoh tersebut, kerajaan boleh membuat undang-undang tanpa memerlukan Parlimen. Kerajaan boleh berbelanja tanpa perlu sidang Parlimen.

Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tegas Saifuddin, boleh berbuat apa sahaja dan rakyat hanya menerima. Malangnya, kata beliau, kes postif harian Covid-19 dan kematian akibat virus wabak itu terus meningkat. Ekonomi kian lemah. Rakyat hilang perkerjaan dan pendapatan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula menggesa Ismail menuruti nasihat yang dinyatakan oleh beliau sendiri.

Yeoh membangkitkan beberapa percanggahan dalam SOP yang dianggap mengarut apabila beberapa perniagaan dan premis tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP dilaksanakan.

Tegas Yeoh dalam satu kenyataan pada 12 Januari, dengan kuasa baru sebagai TPM, Ismail digesa mendengar nasihatnya sendiri supaya berhenti berpolitik dan fokus membantu rakyat dengan segera memperbetul beberapa percanggahan dalam SOP.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh Yeoh ialah penutupan kedai alat tulis yang dilihat menyulitkan mereka yang bekerja dari rumah dan pelajar yang menjalani pembelajaran dalam talian.

Memang benar kata Yeoh, buku tidak jatuh dari langit dan kertas tidak terbang melayang. Netizen juga pernah menyatakan penutupan kedai barangan elektrik menyusahkan pengguna jika berlaku kerosakan komputer riba, komputer peribadi, lampu rumah, dan utiliti lain.

Yeoh juga hairan gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi, tetapi tidak bagi pasar pagi kerana persekitaran di pasar raya yang tertutup kurang selamat untuk warga emas.

Tanpa mengira apa pun alasannya, kata Yeoh, TPM gagal membetulkan percanggahan SOP yang dinyatakan tadi ketika beliau menjadi menteri kanan yang bertanggungjawab di MKN.

Yeoh mencabar Ismail agar membuktikan yang beliau berperanan sebagai Yang Amat Berhormat TPM. Jika tidak, pelantikannya hanyalah wayang politik semata-mata.

————————————————-

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.