Malaysia Dateline

Ismail calon PM: Apakah tragedi “barang order lain, barang sampai lain” di Johor bakal berulang?

Pengumuman Umno untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) menang kembali dalam pilihan raya umum akan datang akan mengingatkan rakyat negara ini kepada krisis perlantikan menteri besar yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Ini kerana, ketika kempen kepada rakyat, Datuk Seri Hasni Mohamad diberitahu bakal dilantik menjadi MB Johor, namun selepas menang bergaya, Datuk Onn Hafiz pula yang dilantik sebagai MB Johor.

Ia berlaku walaupun 38 Adun BN yang menang menghantar surat akuan berkanun (SD) menyokong Hasni sebagai MB Johor.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno mengumumkan akan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon PM jika BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media memaklumkan, MKT Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Ia dipercayai untuk melembutkan bantahan rakyat terhadap dua pemimpin kanan Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di mahkamah sekarang.

Media juga melaporkan seorang lagi pemimpin kanan Umno sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ekoran pengumuman Umno itu, media sosial penuh dengan komen tentang apa yang berlaku selepas PRN Johor baru-baru ini.

“Agak-agak nasib sama macam calon MB Johor masa PRN Johor aritu tak,” kata seorang pengguna Facebook dalam komennya terhadap pengumuman Ahmad Maslan itu.

Pelangi Petang pula menulis, “Skrip sama macam di JB itu haritu kan, last-last kene getah.”

Ekoran perlantikan Onn Hafiz sebagai MB Johor, istilah order barang lain, barang lain yang sampai menjadi tular di media sosial sehingga ada yang membuat poster mengenainya. (Gambar utama di atas).

Istilah order barang lain, sampai barang lain ini digunakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu.

“Biarpun barang yang kita order online barang lain, barang yang sampai barang lain, tetapi beliau tetap menjadi kebanggaan rakyat Johor,” kata Zahid dalam ucapan itu bagi meredakan kemarahan rakyat kepada Umno.

Sebelum ini, penganalisis politik, Dr Hamirdin Abdul Hamid berkata, krisis yang berlaku dalam pemilihan MB Johor ini bakal menyusahkan Umno.

“Datuk Seri Hasni menjadi ‘poster boy’ bagi Umno, menunjukkan beliau akan dilantik menjadi Menteri Besar, tetapi inilah wajah membawa kestabilan dalam konteks politik Negeri Johor.

“Saya kira penggunaan naratif itu diterima rakyat, dan rakyat menerima Hasni sebagai wajah dan orang akan kedepan mendahului BN ke arah kestabilan itu. Jadi sekiranya itu tidak berlaku, saya kira ini satu permasalahan besar dalam Umno,” jelasnya dalam temubual bersama AWANI selepas keputusan PRN Johor diumumkan.