Malaysia Dateline

Ismail ditegur supaya lebih berani beri arahan pada menteri Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditegur untuk lebih tegas dan berani dalam mengeluarkan arahan kepada Kabinetnya terutama ketika negara dilanda bencana besar seperti tragedi banjir Disember tahun lalu.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, ini susulan tindakan kerajaan yang jelas amat lewat dalam mengerahkan bantuan kepada mangsa banjir dan juga lewat memberi arahan kepada para menteri yang bercuti keluar negara untuk segera pulang ke Malaysia.

Beliau juga berpendapat adalah tidak wajar apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu masih meneruskan ibadah umrah beliau biarpun negara sedang berhadapan dengan waktu kritikal.

“Bila banjir berlaku secara mengejut, berlaku sedikit kelam kabut di hari pertama hingga ketiga. Saya lihat berlaku kelam kabut dari segi penyelarasan membantu mangsa-mangsa banjir. Yang menghairankan kita ialah menteri bertanggungjawab hal air pergi menunaikan umrah. Sedangkan kalau ada halangan lain, ia boleh ditangguhkan sebab ianya amalan sunat.

“Saya tak tahu amalan apa yang dibuat ini. Perdana Menteri juga tak ambil tindakan kepada menteri seperti ini. PM takut kalau ambil tindakan, barangkali Ahli Parlimen tarik sokongan dan beliau boleh jatuh. Maka sebab itu kita lihat berlaku kelam kabut di peringkat awal.

“PM mesti berani ambil tindakan. Kewibawaan kerajaan perlu dipulihkan,” katanya dalam siaran langsung ‘PM lemau, Kabinet lemah’ yang disiarkan di Facebook hari ini.

Pada 22 Disember tahun lalu, Ismail telah mengeluarkan arahan agar kesemua menteri membatalkan percutian mereka dan pulang segera ke tanah air selepas banjir besar melanda negara dan netizen mula mempersoal keberadaan menteri-menteri yang langsung tidak kelihatan.

Bagaimanapun ketika itu, anggota Kabinet yang sudah pulang masih belum dibenarkan keluar melawat kawasan bencana kerana perlu mematuhi perintah kuarantin bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19.