Ismail patut umum TNB jangan naikkan tarif

Oleh NASUHA RAHMAN

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya mengumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menaikkan tarif elektrik mulai bulan depan dan pada masa hadapan.

Ini kerana katanya, keuntungan bersih TNB meningkat kepada RM3.66 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 daripada RM3.59 bilion pada tahun sebelumnya berikutan keuntungan operasi 2021 yang meningkat sebanyak RM742 juta kepada RM8.08 bilion berbanding RM7.36 bilion pada 2020.

“Jelas sekali TNB berada dalam kedudukan untuk menyerap kenaikan harga gas dan arang batu,” katanya.

Guan Eng mempersoalkan bagaimana pakej bantuan RM630 juta yang tidak seberapa dapat membantu rakyat Malaysia menghadapi kenaikan harga dan pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak berbotol.

Sebagai perbandingan, katanya Singapura dengan KDNK per kapita hampir 5 kali lebih tinggi daripada Malaysia telah mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion atau RM4.7 bilion yang 7 kali ganda lebih besar daripada pakej bantuan RM630 bilion Malaysia.

“Bantuan kewangan RM630 juta ini mengecewakan bukan sahaja sebab jumlahnya yang kecil tetapi juga tidak menyeluruh untuk membantu rakyat Malaysia dalam kumpulan M40 serta perusahaan kecil dan sederhana,”kata beliau.

Ismail patut umum TNB jangan naikkan tarif
Lim Guan Eng

Sehubungan itu, katanya, masih tidak ada pengumuman bila kekurangan pekerja yang teruk disebabkan oleh halangan Kementerian dan birokrasi untuk membawa masuk pekerja asing akan dapat diselesaikan.

“Kekurangan pekerja yang teruk telah memberi kesan buruk kepada semua sektor daripada perladangan, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Bukan sahaja perniagaan terpaksa ditutup, malah ramai yang enggan menerima tempahan baharu atau beroperasi di bawah kapasiti seperti hotel yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi,” ujarnya lagi.

Begitu juga katanya, sehingga sekarang masih tiada sebarang pernyataan mengenai Dana Penstabilan Harga atau simpanan penimbal bagi komoditi penting untuk menghadapi harga yang dijangka naik lebih tinggi pada akhir tahun nanti.

“Kekurangan perancangan yang diteliti dengan baik bukanlah petanda baik untuk keyakinan pelabur yang sudah terjejas akibat Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022, yang turun tujuh tangga daripada kedudukan ke-25 pada 2021.

“Ini ditunjukkan dengan penurunan harga saham dan kemerosotan nilai ringgit berbanding rakan dagangan utama negara, Amerika Syarikat dan Singapura ke paras yang hampir terburuk dalam sejarah, yang memberikan tekanan tambahan ke atas inflasi yang diimport,” katanya.