Malaysia Dateline

Ismail, PM dua kali gagal jika tidak tangani integriti SPRM dengan serius

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempertimbangkan secara serius untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawah parlimen dan memberikan laluan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai integriti dan rasuah untuk menjalankan tugas tanpa arahan dan gangguan eksekutif.

Pengerusi Majlis Penasihat Pakar (MPP) Parti AMANAH Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata jika Ismail gagal berbuat demikian beliau sebagai Perdana Menteri bakal dikenang oleh rakyat sebagai PM paling gagal dalam sejarah negara kerana dua kegagalan besar berturut-turut iaitu gagal menangani banjir 2021 dan gagal menyelesaikan krisis integriti SPRM 2022.

Katanya, Perdana Menteri wajib mempamerkan kepimpinan yang berkesan (effective leadership) ke arah penyelesaian krisis ini tanpa mengambil sebarang kepentingan politik yang tidak menguntungkan negara.

“PM perlu menjadikan kabinet pimpinan beliau berfungsi dengan cekap tanpa gentar mengambil keputusan-keputusan yang berpihak sepenuhnya kepada proses undang-undang dan kedaulatan negara

“Tindakan serius ini wajar demi mempertahankan integriti SPRM dan memulihkan keyakinan rakyat kepada proses kedaulatan undang-undang dalam negara tercinta,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, isu ini adalah isu pentadbiran yang ‘straightforward’ dan tidak sukar diselesaikan jika pihak-pihak yang bertanggungjawab mengurusnya secara professional dan meletakkan maxim “Kepentingan negara dan tanggungjawab moral” (National interest & moral obligation) dijadikan teras utama pengurusan isu ini bahkan dalam isu-isu lain juga.

Bagaimanapun katanya, tiada kenyataan rasmi untuk menyelesaikan krisis keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM dan kesungguhan kerajaan untuk memulihkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Jika dalam isu penting yang melibatkan maruah negara pun PM enggan memberi komitmen, apa sebenarnya tugas PM?” soal beliau.

Terdahulu, berikutan pendedahan wartawan dan peletakan jawatan salah seorang ahli panel penasihat SPRM, LPPR- Tan Sri Azam memperakui berlaku transaksi saham-saham berkenaan tetapi menyatakan saham-saham berkenaan adalah milik adik lelaki beliau yang menggunakan akaun beliau.