Ismail Sabri 1,000 kali lebih gagal berbanding Mahiaddin

Oleh ARIF ATAN

Mahiaddin Md Yasin sepanjang 17 bulan berkuasa dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah Perdana Menteri yang gagal.

Beliau gagal dalam hampir semua perkara – paling ketara dalam menangani Covid-19 yang daripadanya menjalar kepada krisis kesihatan, ekonomi serta ketidaktentuan politik.

Tidak saja dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung-sambung dan menyusahkan rakyat, kadangkala pula ketat atau longgarnya PKP itu seperti dipakat-pakatkan dengan ancaman politik yang dihadapinya.

Kalau kuat ancaman politik, maka tidak semena-mena jadi ketat PKP dan apabila stabil sedikit politik, PKP pun segera jadi longgar.

Berikutan ancaman politik berterusan, Mahiaddin kemudian menggunakan alasan Covid-19 untuk menguatkuasakan darurat yang mana tujuan utamanya bukan untuk menangani wabak itu, tetapi lebih ke arah menggantung Parlimen.

Apabila Parlimen digantung, bukan saja kedudukannya selamat, berbelanja juga semacam ada kebebasan atas alasan darurat.

Titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen harus dibenarkan bersidang ketika tempoh darurat langsung tidak dipedulikan.

Malah, baginda kemudian bertitah sebanyak tiga kali agar Parlimen dibenarkan bersidang dengan segera dan secepat mungkin, namun tetap tidak dipedulikan.

Perkara itu dengan sendirinya menyedarkan seluruh alam, termasuk gagak dan monyet di hutan, yang ditakutinya sebenarnya adalah takut hilang jawatan.

Dengan itu, hampir semua orang terus mengkritik serta menghentam Mahiaddin dan di media sosial pula hampir setiap masa sarat dengan timbunan kritikan terhadap kegagalannya itu.

Zahid Hamidi dan Najib Razak, Presiden dan bekas Presiden Umno yang mana Umno sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan PN turut tidak mampu mengelak dan akhirnya sama-sama tanpa henti melontarkan kritikan dan serangan kepada Mahiaddin.

Kedua-dua mereka juga adalah penyumbang terbesar yang bertanggungjawab menjatuhkan Mahiaddin akhirnya.

Realitinya dengan semua rentetan itu, Mahiaddin benar-benar pemimpin yang gagal dan kegagalannya tidak boleh lagi dibiarkan berlama-lama sehingga boleh memusnahkan masa depan negara.

Sepanjang 17 bulan berkuasa, boleh dikata tiada apa-apa rekod kejayaan yang boleh ditulis dalam catatan sejarah tentang kejayaannya. Semuanya gagal dan Mahiaddin adalah Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah negara.

Apabila beliau meletakkan jawatan yang bererti dirinya sendiri tidak mampu lagi mempertahankan kegagalannya itu, seluruh negara bertukar gembira dan bersyukur dengannya.

Dengan peletakan jawatannya, beliau seharusnya diberikan masa untuk berehat sepenuhnya kerana pemimpin dan kerajaan selepasnya tidak harus terpalit lagi dengan sebarang kegagalan buruknya selama ini.

Sebab itu, apabila Ismail Sabri Yaakob semalam melantik Mahiaddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri untuk menangani Covid19, ia bukan saja sesuatu yang pelik, malah seperti “kerja gila”.

Bagaimana seorang yang telah gagal selama 17 bulan untuk menangani Covid-19 boleh dilantik semula untuk mengetuai usaha menangani wabak tersebut?

MPN ditubuhkan oleh Mahidddin tidak lama sebelum pengundurannya dengan beliau sendiri adalah pengerusinya.

Jika dengan kuasa sebagai Perdana Menteri pun beliau gagal membawa apa-apa kejayaan, bagaimana sekarang Ismail Sabri boleh mengharapkan MPN berjaya dengan Mahiaddin yang hanya diberikan status menteri?

Apa yang MPN di bawah Mahiaddin mampu lakukan selepas ini atau mungkinkah MPN sekali lagi akan mencadangkan darurat dilaksanakan kepada Ismail Sabri?

Yang nyata, dengan pelantikan Mahiaddin yang gagal itu untuk mengetuai MPN, ia lebih menyerlahkan kegagalan Ismail Sabri sendiri sebagai Perdana Menteri yang belum sampai sebulan memegang jawatan tersebut.

Mahiaddin hanya gagal dalam menunaikan tanggungjwab dan melaksanakan kerjanya sehingga rakyat terbeban, marah dan susah, tetapi Ismail Sabri gagal dalam memilih orang yang betul untuk melaksanakan tugas menangani Covid-19.

Pemimpin yang betul tidak mungkin melantik seseorang yang telah terbukti gagal untuk apa juga tugas, terutama sekali mengetuai semula sebuah badan yang sebelum ini telah terbukti gagal dilaksanakannya dengan kuasa lebih besar ada dalam tangannya.

Kalau dalam memilih orang yang betul untuk melakukan sesuatu kerja pun Ismail Sabri sudah menunjukkan kegagalannya, walhal itulah atas utama watak seorang Perdana Menteri yang berwibawa atau setidak-tidaknya boleh diharapkan, sudah tentu dalam hal-hal lain beliau tidak boleh lamgsung dijadikan sandaran.

Dengan kegagalan asas itu, Ismail Sabri adalah 1,000 kali lebih gagal berbanding Mahiaddin.

Apakah ini tanda-tanda malang awal Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang lebih buruk dan lebih tidak berguna lagi kepada kita rakyat pembayar cukai berbanding Mahiaddin sebelum ini?