Malaysia Dateline

Ismail Sabri, Adham, Noor Hisham perlu segera letak jawatan

Ismail Sabri (kanan) dan Adham Baba dalam satu program bersama angkatan tentera baru-baru ini.

Jingga 13 Malaysia begitu kecewa dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang telah membayangkan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh(PKPP) dilanjutkan selepas fasa pertama tamat 14 Jun hari ini.

Koordinator Penerangan dan Komunikasi Jingga 13 Malaysia, Mohd Rudey Abdul Rahman berkata, selepas lapan hari pelaksanaan PKPP, jangkitan Covid-19 masih melebihi 5,000 kes sehari dengan purata kes baharu melebihi nilai ambang yang disasarkan iaitu purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan hal tersebut sebagai kegagalan yang jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Banyak mana lagi penderitaan yang harus ditanggung oleh rakyat marhaen sekiranya PKPP terus disambung dan disambung ekoran kegagalan peneraju seperti Menteri Kesihatan, Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan serta kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

“Sudah banyak kompaun serta pendakwaan dibuat di mahkamah, tetapi ia masih gagal memberi impak yang baik,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, SOP yang telah dirangka termasuklah kempen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterajui oleh ketiga-tiga penggerak tersebut iaitu Menteri Kesihatan, Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan tersebut gagal untuk menyedarkan rakyat.

“Sehingga ke hari ini ada rakyat yang disaman kerana melanggar SOP dan ada juga segelintir yang dibiarkan begitu sahaja walaupun melanggar SOP,” ujarnya.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh sebab itu, katanya, pihak Jingga 13 Malaysia menyarankan supaya ketiga-tiga mereka direhatkan.

Mereka, jelasnya, perlu diganti dengan individu yang lebih berwibawa dan efektif serta mampu untuk menyekat penularan pandemik berdasarkan merit dan kebolehan mereka dan bukannya atas dasar ‘orang kita’.

Sejajar dengan itu, kata Rudey, kegagalan PN adalah suatu kekecewaan majoriti rakyat dalam negara ini yang terbukti masih lagi wujud rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tambahnya, majoriti rakyat hidup dalam penuh kesengsaraan dan menghadapi kesukaran untuk hidup sihat, selamat lagi sejahtera.