Malaysia Dateline

Ismail Sabri akan terima seorang lagi Penasihat Khas

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menerima seorang lagi Penasihat Khas yang bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan dan akan dilantik dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, Penasihat Khas itu kini sedang dalam proses lantikan.

“Penasihat yang dilantik ini dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka, yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) yang bertanya mengenai jumlah Penasihat Khas Perdana Menteri yang dilantik dan apakah bidang mereka.

Amiruddin juga meminta penjelasan tentang implikasi kewangan bagi setiap lantikan dan keputusan penting yang dibuat hasil daripada nasihat yang diberikan.

Sementara itu Abdul Latiff menjelaskan, anggaran kos bulanan keseluruhan bagi setiap pejabat Penasihat Khas yang dilantik termasuk kos pegawai di pejabat itu adalah RM50,000.

“Kos ini termasuk bayaran gaji dan emolumen Penasihat Khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat itu,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).