Malaysia Dateline

Ismail Sabri buat keputusan salah tidak wajibkan saringan, kuarantin

Tindakan tidak mewajibkan saringan dan kuarantin terhadap individu yang pulang dari Sabah sebelum 27 September lalu punca berlakunya peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan kerajaan melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kelonggaran itu sebagai satu perkara yang salah.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, kes Covid-19 yang sah menjangkiti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Zulkifli Mohamad menjadi bukti paling kukuh keputusan salah itu.

“Keputusan yang tidak berasaskan bukti, tidak berasaskan sains perubatan, dan tidak betul.

“Malah saya berpandangan bahawa keputusan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 September dan diuji negatif di KLIA, KLIA2 untuk potong gelang merah jambu juga adalah keputusan yang tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul.

“Ia juga keputusan yang salah,” tegas Fahmi pada siri ciapan di Twitter malam ini yang ditujukan kepada Ismail Sabri.

Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan beliau disahkan negatif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan dibenarkan keluar dari kuarantin di rumah.

Menurutnya, beliau telah dibukakan gelang merah jambu selepas lebih 14 hari sejak bertemu dengan staf pejabatnya kali terakhir pada 20 September lalu.

“Terima kasih kepada semua staf di Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan Klinik Kesihatan Tanglin yang telah membantu saya dan staf Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“Untuk makluman, saya tidak pergi ke Sabah waktu kempen PRN. Tetapi salah seorang staf pejabat saya telah ke sana pada 23 ke 25 September, dan pada 28 September beliau telah disahkan positif Covid-19,” katanya lagi.