Malaysia Dateline

Ismail Sabri dapat sokongan majoriti, kata Tajuddin

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu, kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas Pengarah Pilihan Raya Umno itu berkata, parti tersebut dan BN bersama-sama dan bersetuju mencalonkan satu nama sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

“Tentunya (calon itu mesra kepada semua parti luar BN).

“Ya, (calon itu) Ismail Sabri. Kami sudah melepasi sempadan (majoriti 111 untuk membentuk kerajaan),” katanya kepada media di Menara Dato’ Onn malam tadi.

Sehubungan itu, nama Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkenaan dipersetujui oleh semua 42 Ahli Parlimen BN untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 4 petang hari ini.

Ditanya parti yang turut memberi sokongan kepada Ismail Sabri, Tajuddin berkata, ia diperoleh daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kami mendapat sokongan daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas,” katanya lagi.

Tajuddin ditemui selepas menghadiri mesyuarat antara Ahli Parlimen BN bagi memutuskan calon Perdana Menteri yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 4 petang hari ini.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.