Malaysia Dateline

Ismail Sabri didakwa bertemu Mahathir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan bertemu dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) siang tadi.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pertemuan tersebut difahamkan berlangsung siang tadi.

Walau bagaimanapun, tiada perincian berkenaan tujuan pertemuan itu menjelang penyerahan surat peletakan jawatan oleh Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

“Saya difahamkan ada pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya tidak tahu. Kita dapat maklumat,” kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, lapor Sinar Harian.

Dalam masa sama, Shamsul turut mengesahkan tiada pertemuan melibatkan pemimpin pembangkang di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini.

“Hari ini tidak ada mesyuarat, kita buat kenyataan sahaja. Rakyat mahu kerajaan dan pimpinan baharu.

“Kita tunggu esok, kita dapat maklumat seperti yang dikhabarkan Perdana Menteri akan meletakkan jawatan,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, Mahiaddin pagi tadi bertemu dengan Ahli Parlimen daripada Bersatu dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di Publika, Kuala Lumpur.