Malaysia Dateline

Ismail Sabri kukuhkan persepsi kerajaan gagal

Satu demi satu rakyat dihidangkan dengan pelbagai bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara tatkala pandemik Covid-19 kekal dan semakin mengganas.

Kecaman rakyat melalui kempen #KerajaanGagal jika dicermati tidak dicetuskan oleh mana-mana parti politik secara rasmi.

Akan tetapi kempen yang dianggap propaganda politik ini memang menunjukkan keberhasilan apabila pelbagai pihak bercakap dan media membuat liputan mengenainya.

Kain sepanduk dan contengan dinding yang mengangkat tagar KerajaanGagal menunjukkan kempen media sosial secara perlahan-lahan telah menular secara fizikal.

Bermula dengan tindakan ‘nakal’ sekumpulan anak muda di Batu Pahat, Johor yang membakar suar sambil mengangkat sepanduk #KerajaanGagal pada Mei lalu dengan segera tular di laman sosial.

Di Taiping, Perak, seorang lelaki telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah majistret apabila didapati menconteng beberapa kawasan awam dengan tulisan Kerajaan Gagal. Hal serupa juga berlaku di Melaka apabila laluan siar kaki di Sungai Melaka telah diconteng dengan mesej serupa.

Benar, kita boleh mengambil sikap untuk menolak tindakan menconteng #KerajaanGagal di kawasan awam sebagai vandalisme.

Malah, tindakan seperti di Batu Pahat dengan mudah disekutukan dengan pelaku yang berimej negatif seperti mat rempit, anak muda liar, mudah terpengaruh dengan propaganda anti-establishment dan sebagainya.

Tujuannya adalah membina persepsi bahawa kempen propaganda Kerajaan Gagal didorong oleh manusia yang berjiwa liar dan mudah terpesong. Dan hal demikian akan menjarakkan masyarakat lain daripada menyokong kempen-kempen seumpama ini.

Tentunya aksi massa akan mengundang reaksi pihak berkuasa.

Akan tetapi, satu hal yang tidak boleh diabaikan adalah mesej kemarahan rakyat semakin membuak-buak dan menular di peringkat bawahan.

Tidak mustahil, jika kempen yang berkembang secara ini dikekal dan ditingkatkan momentumnya akan membentuk sebuah himpunan atau demonstrasi besar yang tidak dikepalai oleh mana-mana parti politik akan terjadi.

Kemarahan dan keresahan rakyat kini semakin sukar dibendung.

Sikap dan layanan dua darjat sudah dinilai secara sendiri oleh rakyat dengan mata kepala sendiri bagaimana ada pesalah bawahan terus dikenakan kompaun manakala pesalah kayangan dilengah-lengahkan dengan berselindung alasan ‘masih dalam siasatan’, ‘kes diserahkan kepada pihak sana, pihak sini’ dan sebagainya.

Dalam hal semudah ini pun rakyat tidak nampak bagaimana Muhyiddin mampu menjadi watak pendamai dan penenang kepada semua pihak. Kepercayaan dan harapan yang telah diberikan sebelum ini hancur berkecai akibat kelemahan dan kelembapan Muhyiddin mengawal masalah.

Hal ini kekal berlanjutan tatkala negara di ambang pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga.

Tatkala sebilangan besar rakyat diarahkan berada di rumah bagi membantu kerajaan menghentikan penularan jangkitan Covid-19, pada masa yang sama, sektor pembuatan atau perkilangan kekal dibenarkan beroperasi.

Maka, hantaran Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob lewat Facebooknya sebelum ini seakan-akan memberi kesimpulan awal yang membenarkan slogan #KerajaanGagal. Komunikasi politik tidak langsung ini segera menarik perhatian orang ramai.

Dua perkara yang boleh diketengahkan daripada hantaran beliau iaitu menyindir menteri yang cuba mengubah keputusan yang telah disepakati dan kedua, betapa telah berlaku ketidaksepakatan atau kegagalan komunikasi dalam kalangan anggota kabinet.

Dia tidak perlu mengambil sikap berbelit untuk menjernihkan sindiran tersebut. Secara mudah, jenaka sinis itu dapat ditangkap secara langsung oleh rakyat untuk siapa. Malah media sendiri telah mendapatkan respon Azmin Ali bagi mengulas hantaran Ismail Sabri.

Maknanya media juga maklum kisah di sebalik pintu antara jemaah menteri. Pendedahan eksklusif melalui sumber tertentu seperti disiarkan Malaysiakini juga, walaupun tidaklah menyimpulkan, tetapi mengukuhkan persepsi tentang kekecamukan yang berlaku dalam kerajaan.

Bayangkan dalam suasana negara telah darurat seperti yang diinginkan oleh Perdana Menteri, Mahiadin Yassin, rupa-rupanya kelebihan itu kekal menjadi malapetaka apabila tiada keselarasan dalam kalangan menteri kanan dalam membuat keputusan.

Cuma apa yang diharapkan tetapi agak sukar dilaksanakan adalah menanti Ismail Sabri meletak jawatan Kabinet. Untuk melakukan hal ini, kelebihan tidak berpihak kepada Ismail mahupun kerajaan PN.