Malaysia Dateline

Ismail Sabri perdana menteri bisu

Menjadi perdana menteri atau ketua kerajaan, seseorang itu bukan saja harus memiliki wibawa dan ciri-ciri tertentu sebagai pemimpin, tetapi juga mesti mempunyai suara.

Dengan adanya suara itulah pemimpin berkenaan boleh menyampaikan ucapan, mempengerusikan mesyuarat, berkomunikasi, mengeluarkan arahan, memberi kata-kata perangsang atau menaikkan semangat, memberi reaksi terhadap sesuatu isu, mengherdik lawan politik jika perlu dan paling penting melalui kemampuan bersuara
itulah juga dapat memberi keyakinan kepada rakyat tentang kemampuannya memimpin atau mengawal negara ini.

Dengan itu, kemampuan bersuara, bercakap atau berucap adalah syarat wajib untuk menjadi pemimpin, bahkan bersuara juga adalah kerja utama seorang pemimpin. Pemimpin yang diam adalah pemimpin yang tidak bekerja.

Sementara kita biasa menyaksikan orang buta mengetuai kerajaan, misalnya Gus Dur di Indonesia, tetapi kita tidak pernah mendengar ada orang bisu menjadi pemimpin, jauh sekali mengetuai kerajaan.

Hakikatnya, orang bisu memang tidak sesuai diletakkan sebagai pemimpin kerana akan timbul banyak kesukaran daripada ketidakupayaannya mengeluarkan suara itu.

Dalam konteks mengetuai kerajaan, kemampuan seorang pemimpin dalam mengeluarkan suara adalah sangat penting, bahkan wajib.

Perdana menteri yang tidak bercakap atau gagal memberi reaksi dalam sekian banyak isu adalah pemimpin paling gagal dan tidak berguna sama sekali.

Sebab itu, sementara satu demi satu isu timbul dalam negara, kegagalan Ismail Sabri Yaakob memberi reaksi kepada isu-isu yang timbul itu adalah cerminan nyata tentang ketidakmampuannya.

Dalam isu 5G yang dikendalikan melalui pengwujudan syarikat baru, DNB atau Digital Nasional Berhad, meski banyak pihak sudah bercakap tentang ketidaksetujuan mengenainya, malangnya Ismail Sabri masih tidak kedengaran memberi ulasan mengenainya, malah suaranya menyebut perkataan 5G atau DNB saja pun belum pernah didengari lagi.

Begitu juga dengan isu panas sekarang berkaitan kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang dipertikai dan dikritik merata tentang pemilikan saham miliknya, belum juga kita dengar lagi suara perdana menteri mengenainya.

Malah, sebelum ini dalam beberapa isu yang timbul dalam negara ini, Ismail Sabri selaku perdana menteri lebih memilih untuk mendiamkan diri daripada bersuara.

Ehhh…Malaysia ini ada perdana menteri atau tidak sebenarnya?

Oleh kerana orang bisu tidak pernah dijadikan pemimpin, sikap Ismail Sabri yang membisu dan sengaja bisu dalam banyak perkara ini sebetulnya menyebabkan beliau telah hilang kelayakan sama sekali sebagai perdana menteri dengan sendirinya.

Semua pemimpin yang hebat dalam dunia dikenali kerana kemampuannya mengeluarkan suara, bahkan ada antaranya sehingga bergegar seluruh urat-urat rakyat mendengar ucapan mereka.

Mungkin tidak perlu untuk Ismail Sabri belajar berucap atau mengambil kelas tambahan “public speaking”, tetapi sebagai perdana menteri atau ketua kerajaan, adalah wajib baginya menunjukkan keberanian memunculkan suara dalam isu-isu besar dalam negara seperti DNB, SPRM dan kedudukan Azam Baki dan seumpamanya.

Ketidakmampuan memberi ulasan dalam isu-isu besar seperti itu hanya akan menyerlahkan lagi ketidakmampuan dan ketidaklayakannya, di samping akan menambah-besarkan rasa meluat dan menyampah rakyat terhadapnya.

Apabila rakyat sedang berdepan pelbagai kesusahan atau kesukaran, apa yang diperlukan ialah kata-kata perangsang daripada pemimpin dan ianya tidak banyak berbeza dengan tindakan seorang suami atau datuk ketika menyejukkan hati pasangan atau cucunya.

Cuba Ismail Sabri bayangkan, ketika cucunya merajuk atau dalam susah hati, tetapi beliau hanya diam dan tidak mengeluarkan walau sepatah perkataan pun terhadapnya?

Selain itu, semua perdana menteri sebelum ini juga hampir tidak pernah bersembunyi atau gagal mengeluarkan suara dalam pelbagai isu yang timbul ketika era kepimpinan mereka.

Kecuali Najib Razak ketika menjadi perdana menteri ada sedikit-sebanyak berdiam diri atau mengelak daripada bercakap mengenai sesuatu isu, 1MDB misalnya dan kemudian Mahiaddin Md Yasin yang lebih banyak bisu dalam kebanyakan isu serta hanya berani muncul dalam perutusan khasnya saja, tetapi lihatlah apa nasib buruk menimpa mereka itu.

Terutamanya Mahiadddin yang mungkin ketika itu merasakan berdiam diri adalah pilihan terbaik buatnya, namun sebab utama beliau ditolak dan dibenci ialah disebabkan kegemarannya menyimpan suara dalam isu-isu yang membuatkan rakyat sesak nafas dibuatnya.

Hari ini, makin hari makin ramai yang menolak dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ismail Sabri, paling buruk dan utama kerana kegagalannya bersuara dalam pelbagai isu yang sedang melanda negara ini.

Dengannya, beliau dikata tidak tahu buat kerja, tak lama lagi, pasti ada mengatanya hanya makan gaji buta saja.