Malaysia Dateline

Ismail Sabri perkenal konsep ‘Keluarga Malaysia’

Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam ucapan sulungnya hari ini.

Naib Presiden Umno itu berpendapat konsep tersebut diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan sudah mengikat mereka semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri sebentar tadi.

Untuk rekod, tempoh kerajaan diterajui Ismail Sabri hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan selepas mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen dengan bilangan kerusi Perikatan Nasional (PN) mengatasi Barisan Nasional (BN).

Kerajaan pasca tumbangnya Mahiaddin Md Yassin kini terdiri daripada 54 Ahli Parlimen PN, BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).