Malaysia Dateline

Ismail Sabri PM paling lemah, kata veteran DAP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub disifatkan sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara ketana tidak mampu mencerap realiti berkenaan pilihan raya negeri Melaka yang mampu memberikan kesan yang besar kepada Malaysia untuk tahun-tahun mendatang

Buku terbaru Liew Chin Tong yang dilancarkan semalam Lim Kit Siang Patriot Leader and Fighter

Demikian kata veteran DAP, Li Kit Siang ketika berucap di majlis pelancaran buku bertajuk “Lim Kit Siang – Patriot, Leader, Fighter” hasil nukilan Liew Chin Tong di Ayer Keroh, Melaka pada Ahad, semalam.

Katanya, pilihan raya negeri Melaka yang mana hari ini adalah hari pencalonannya, bakal menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru — antara Pakatan Harapan dan parti-parti dalam kerajaan, malah antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Tiada siapa yang dapat meramal tentang apa yang akan berlaku di Hari Pengundian pada 20 November 2021,” kata beliau.

Bagi beliau, negara sedang dalam fasa mencari-cari persamaan dan keseimbangan dalam landskap politik baharu selepas dua peristiwa penting berlaku baru-baru ini:

(i) Kejatuhan kerajaan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum 2018; dan

(ii) Konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara sah menerusi proses demokrasi selepas 22 bulan mentadbir sedangkan ia mempunyai mandat selama lima tahun untuk menerajui negara, sekaligus membawa masuk kerajaan pintu belakang, tidak sah dan tidak demokratik.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memusnahkan hegemoni politik Umno yang telah disalahgunakan berdekad-dekad lamanya.

Namun, katanya, konspirasi Langkah Sheraton menyebabkan proses demokrasi menjadi haru-biru dan sejak daripada peristiwa itu, negara berada fasa mencari-cari persamaan dan kesimbangan bagi mencapai matlamat Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Sejurus selepas wabak Covid-19 yang berlarutan selama 22 bulan memaksa suatu pembentukan norma baharu dalam kehidupan sosial dan ekonomi rakyat Malaysia, negara kini masuk ke dalam fasa mencari suatu norma baharu dalam politik Malaysia pasca PRU-14 dan peristiwa Langkah Sheraton.

“Kini, kita berdepan dengan situasi politik di mana tiada satu pun parti politik boleh menggunakan kuasa hegemoni, kerana zaman di mana satu-satu parti boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah telah berakhir.

“Era di mana setiap parti politik membentuk kerjasama yang bermakna telah bermula, dan semua parti-parti politik harus belajar untuk bekerjasama antara satu sama lain bagi membentuk sebuah negara hebat bertaraf dunia.

“Bukan untuk kepentingan peribadi atau demi menjulang imej parti, sebaliknya bagi menegakkan prinsip keadilan, kebebasan, kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia supaya Malaysia mampu menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengelakkan Malaysia terjerumus menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal,” kata beliau.

Kit Siag telah dipertanggungjawabkan oleh DAP untuk merintis perjuangan di Melaka pada 1969, dan merupakan Ahli Parlimen untuk Bandar dan kemudian untuk Kota Melaka selama tiga penggal — pada 1969, 1974 dan sekali lagi pada 1982.

Pada era 70-an dan 80-an, Melaka adalah negeri yang disebut-sebut bakal memacu Malaysia ke arah menjadi negara hebat bertaraf dunia, yang memanfaatkan nilai-nilai murni empat tamadun hebat — Melayu/Islam, Cina, India, Barat — yang menjadi titik pertemuan di Malaysia.

Sejak itu, katanya, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor antara negeri yang dilihat mampu menjadi pemangkin untuk memacu Malaysia ke arah menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Kini, Melaka kembali dilihat sebagai negeri yang mampu untuk merintis jalan kedepan untuk Malaysia menerusi pilihan raya negeri Melaka ini.

“Saya tidak bersetuju dengan sahabat saya, Paul Siah yang menyifatkan pilihan raya negeri di Melaka, negeri kedua terkecil di negara ini, tidak penting.

“Sebaliknya, saya percaya pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak menjadi semacam pemanas badan untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 bagi menentukan sama ada matlamat Impian Malaysia bagi menjadikan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia telah berakhir dan tiada lagi jalan untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat yang memanfaatkan kepelbagaiannya,” katanya.

Malah, katanya, keputusan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak bakal menentukan sama ada Memorandum Persefahaman (MOU) Kepercayaan-Perbekalan-Reformasi (CSR) yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021 harus dimansuhkan dan PRU-15 diadakan awal tahun hadapan.