Malaysia Dateline

Ismail Sabri sah jumpa Mahathir untuk dapatkan sokongan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri disahkan bertemu dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Hal itu disahkan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya yang turut hadir dalam pertemuan di rumah Mahathir di Seri Kembangan, Selangor petang tadi.

Menurutnya, perjumpaan melibatkan Ahli Parlimen Bera dari Umno dan bekas Perdana Menteri itu berlaku kira-kira pukul empat petang tadi selama setengah jam.

Bagaimanapun, kata Marzuki, jawapan Mahathir kepada Ismail adalah sama seperti kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu, jelasnya, turut menghubunginya beberapa minggu lalu bagi pihak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang Tun cakap kepada Ismail Sabri sama dengan (kepada) Loke dan Mat Sabu.

“Fokus utama Pejuang adalah masalah negara yang melimpah – Covid-19, ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Apa yang Tun minta agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat ditubuhkan,” kata Marzuki lagi.