Malaysia Dateline

Ismail Sabri semakin berkurangan sokongan?

Tanpa angin, tanpa ribut dan tiba-tiba saja, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mengadakan sidang media menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk terus mentadbir negara sehingga penggal Parlimen berakhir pada 2023.

Pengerusi BBC Tajuddin Abdul Rahman berkata, kepimpinan Ismail Sabri perlu diteruskan bagi membantu kabinet memberikan fokus kepada usaha membela rakyat dan mengatasi masalah yang berlaku akibat Covid-19.

“Kami memberi kepercayaan yang tinggi kepada Ismail Sabri kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

“Beliau bersama ahli kabinet yang mempunyai fahaman politik berlainan telah dapat membuktikan kejayaan mereka dalam menangani wabak Covid19 sehingga angka kes terus menurun,” katanya pada sidang media di Parlimen petang semalam.

Persoalannya, kenapa tiba-tiba saja Tajuddin yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Duta Besar ke Indonesia mengadakan sidang media berkenaan?

Adakah ia menunjukkan Ismail Sabri semakin berkurangan sokongannya? Jika ada, siapa yang sekarang tidak menyokong Ismail Sabri?

Atau sidang media itu suatu “probok-probok” agar surat lantikan sebagai duta lebih cepat dikeluarkan?

Begitu pun, dengan adanya sokongan secara tiba-tiba kepada Ismail Sabri ini, ia tentu sekali mengingatkan kita kepada bagaimana Mahiaddin Md Yasin juga sebelum ini mendapat sokongan bertalu-talu untuk dikekalkan khidmatnya sehingga PRU-15.

Tetapi, apa jadi akhirnya kepada beliau?

Apakah sekarang Ismail Sabri sedang menempah laluan yang sama?

Yang nyata, sokongan terbuka BBC untuk Ismail Sabri diteruskan khidmatnya sehingga tahun 2023 adalah jelas merupakan tindakan “sengaja cari pasal” terhadap kepimpinan Umno sendiri.

Secara tersiratnya tujuan memberi sokongan kepada Perdana Menteri sehingga tahun 2023 itu adalah semata-mata agar pemilihan Umno diadakan terlebih dahulu sebelum PRU-15 dilangsungkan.

Melalui itu, dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri akan ditonjolkan untuk merebut jawatan Presiden Umno yang kini disandang oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu tentu sekali bertentangan dengan pendirian MT Umno baru-baru ini, sebagaimana disebut oleh Ketua Pemuda, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa ketetapan telah dipersetujui untuk Parlimen dibubarkan selepas Julai 2022 dan sebelum pemilihan Umno diadakan.

Makna kata, matlamat melanjutkan tempoh Perdana Menteri sehingga 2023 itu bukan untuk kepentingan rakyat, bukan untuk memulihkan ekonomi dan bukan juga untuk menangani Covid-19, tetapi semata-mata kerana kepentingan kuasa.

Di sebalik yang terlihat melalui sokongan BBC itu seolah-olah Ismail Sabri sudah kurang sokongan dan mahu dijatuhkan, sebenarnya ini adalah gerakan untuk membawa Perdana Menteri mengetuai gerakan menjatuhkan kepimpinan Umno yang sedia ada.

Cuma, sempatkah gerakan menjatuhkan itu dilakukan atau Ismail Sabri bakal lebih dulu dijatuhkan?