Berikutan Ismail Sabri Yaakob telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15, pemilihan beliau itu seharusnya diterima sebagai berita gembira oleh semua pihak yang mahu melihat berlakunya perubahan lebih baik dalam Umno.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan 87 pertuduhan di mahkamah berkaitan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram dan perbicaraan kes beliau dijangka akan memakan masa bertahun-tahun lamanya.
Dari segi moralnya selepas ini, beliau bukan saja tidak harus memimpin Umno, malah keberadaannya lebih menjadikan parti itu terus dipandang tidak elok oleh masyarakat.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula dikatakan sedang dibuka kertas siasatan terhadapnya berkaitan isu pembelian rumah yang dibelinya di London yang dikaitkan dengan amalan rasuah.
Sama ada beliau akan didakwa atau sebaliknya, hanya masa yang akan menentukannya berdasarkan bukti-bukti baru yang bakal ditemui pihak berkuasa.
Meskipun kes beliau adalah kes lama yang tiba-tiba terbuka semula, hakikatnya sudah ada “kekotoran” yang memercik ke tubuh serta wibawanya.
Dengan itu, tidak saja untuk menggantikan Presiden Umno yang sedang dibicarakan dilihat tidak sesuai, beliau bahkan sedang terancam kedudukannya sebagai Timbalan Presiden.
Ya. Mana tahu, tiba-tiba kesnya dibawa ke mahkamah dalam waktu terdekat ini dan takkanlah selain Presiden Umno, Timbalan Presiden juga daripada kluster mahkamah.
Bekas Presiden Umno, Najib Razak lebih buruk keadaannya kerana sudah pun dijatuhi hukuman bersalah 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes SRC International.
Bagaimanapun, beliau masih menikmati kebebasan kerana dibenarkan menangguhkan hukuman sementara rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan iaitu proses terakhir dalam sistem keadilan negara ini.
Berbanding Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, Najib lebih berdepan kesukaran untuk kembali memimpin Umno kerana banyak kes lain sedang menunggu seperti 1MDB, meminda laporan audit dan lain-lainnya.
Sebelum ini, Umno sudah mempunyai peraturan bahawa mana-mana pemimpinnya yang didakwa di mahkamah, mereka hendaklah melepaskan jawatan sehingga kesnya selesai.
Entah mengapa, pada era Zahid Hamidi mengetuai Umno, peraturan itu tidak terpakai lagi, bahkan Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah pun masih dibenarkan kekal memegang jawatan parti sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan, Pahang.
Bermakna dalam semua keadaan itu, siapa lagi yang tinggal untuk memimpin Umno selepas ini?
Oleh sebab Ismail Sabri telah disahkan sebagai calon Perdana Menteri dan “poster boy” untuk BN bagi menghadapi PRU-15, selain ia merupakan berita gembira buat Umno kerana siapa calon Perdana Menteri tidak lagi menjadi pertikaian, sokongan keatasnya juga tidak harus terhenti setakat ini saja.
Ismail Sabri harus terus dilonjakkan kedudukannya untuk memimpin dan mengambil alih teraju kepimpinan Umno pula.
Kiranya BN berjaya menang PRU-15 akan datang, sebab utamanya tentulah kerana Ismail Sabri yang tidak kontroversi, berpenampilan sederhana, boleh berbaik dengan sesiapa saja demi rakyat, tidak terpalit dengan kes mahkamah dan mempunyai isteri yang tidak campur tangan serta tidak menonjol telah berjaya memberi keyakinan dan menarik hati rakyat.
Dengan itu, apalah maknanya jika rakyat telah memberi sokongan kepadanya dengan memberi kemenangan kepada BN, tetapi Umno masih enggan menjadikannya sebagai Presiden Umno?
Sudah tentu apabila rakyat memberi kemenangan kepada BN dengan beliau sebagai “poster boynya”, harapan mereka juga ialah untuk melihatnya mengetuai Umno selepas itu kerana itulah tradisinya selama ini iaitu Perdana Menteri mestilah Presiden Umno.
Dari segi Ismail Sabri sendiri, berdasarkan mandat yang diberi kepadanya sebagai calon Perdana Menteri, kemudian diberi pula kemenangan oleh pengundi, beliau sebenarnya turut mempunyai tanggungjawab moral untuk memulih dan membina semula Umno berdasarkan sokongan rakyat kepada BN itu.
Meski belum diketahui bila waktunya itu, tapi Ismail Sabri tidak boleh lari daripada hakikat tersebut kerana hanya dengan menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno saja dapat memastikan kestabilan sebenar di mana parti dan kerajaan berjalan seiring, selain kedudukannya sebagai ketua kerajaan tidak lagi mudah diugut dan diancam.
Baca Hanya janji manis paksa Ismail Sabri bubar Parlimen segera
Baca Tangan pijar sebab pegang cili, doktor kongsikan cara untuk hilangkannya