Malaysia Dateline

Ismail sahkan pertemuan 40 MP BN benar-benar berlaku

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kenyataan yang dikeluarkannya pada 29 Julai lalu berhubung sokongan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddn Md Yasin adalah sah.

Naib Presiden Umno tersebut mengesahkan hal itu ketika ditanya pemberita dalam lawatan kerjanya di Parlimen Bera, hari ini.

Menurutnya, seramai 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN selepas beliau mempengerusikan pertemuan bersama mereka pada hari terbabit.

“Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

“Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN,” lapor Sinar Harian hari ini.

Ismail berkata, selaku ahli BN, kepala surat BN digunakan kerana mereka adalah Ahli Parlimen yang mewakili BN.

Nazri Aziz

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz turut mengesahkan pertemuan tersebut.

Beliau berkata, hanya Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bagan Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menyuarakan sokongan mereka terhadap kerajaan PN.

Bahkan, katanya, Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob, yang menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Januari, telah memutuskan kembali menyokong kerajaan PN.

“Saya mengesahkan pertemuan 40 ahli Parlimen BN itu adalah benar-benar berlaku. 40 ahli Parlimen BN yang menyokong keputusan mengekalkan kerajaan PN termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

“Najib sememangnya menyokong kerajaan PN, bagaimanapun beliau meminta Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Itu sahaja nada berbeza beliau sewaktu mengadakan sidang media di Parlimen selepas itu,” lapor Astro Awani semalam.