Malaysia Dateline

Ismail tawar 7 perkara untuk stabilkan politik bagi melawan Covid-19

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, ia adalah tawaran kerajaan kepada pembangkang selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” katanya.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi;

1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia, katanya.