Ismail tempelak DAP main sentimen politik pemotongan KWSP

Ismail tempelak DAP main sentimen politik pemotongan KWSP

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hari ini menempelak pembangkang kerana memainkan sentimen politik berkaitan pemotongan 3 peratus kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 diumumkan pada Khamis lepas.

Beliau berkata pembangkang seharusnya rasional dalam memberi sebarang komen kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menimbangkan sebaik-baiknya sebelum melakukan pengubahsuaian bajet bagi memastikan langkah itu menguntungkan rakyat.

“Tapi bagi pembangkang tiada apa yang betul.Mereka tidak pernah mahu berterima kasih kepada kerajaan.

“Jika perkara itu positif, akuilah dan kata ia baik. Jika ada kelemahan, boleh ditegur tapi jangan nafikan perkara yang baik kerana kita semua menikmatinya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM6,500 kepada Ahmad Azizi Abdul Halim, 33, yang koma akibat kemalangan, di Kampung Jengka, Batu 13 di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Eddie Ng Tien Chee daripada DAP dalam portal pembangkang yang mendakwa pemotongan itu hanya menguntungkan Kerajaan Persekutuan kerana meningkatkan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

TAGS