Malaysia Dateline

Ismail tiada komitmen pulihkan negara, RUU lompat parti juga tiada jaminan dilaksana

Pelantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bertaraf menteri hanya membuktikan bahawa perdana menteri tidak memberikan sepenuh komitmen dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, jika Ismail tidak mempunyai komitmen terhadap Jawatankuasa PPN, bagaimana beliau dapat memberikan jaminan untuk melaksana reformasi institusi seperti Undang-undang Anti Lompat Parti.

Bahkan katanya, tindakan Ismail melantik Mahiaddin tidak menunjukkan komitmen yang ditunjukkan sebelum ini ketika bertemu dengan tiga pemimpin Pakatan Harapan di pejabatnya pada 25 Ogos lalu.

“PPN perlu menggunakan kuasa sebenar untuk bertindak segera dan tidak diperlecehkan sekadar menjadi ‘warung kopi’ yang diketuai bekas perdana menteri yang telah menyebabkan krisis kesihatan dan kemelesetan ekonomi terburuk dalam negara.

“Apa yang boleh dilakukan Mahiaddin sekarang untuk mengubah keadaan ekonomi? Beliau telah gagal melakukannya walaupun berkuasa penuh sebagai perdana menteri dengan pelancaran lapan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion.

“Jawatan Pengerusi Jawatankuasa PPN tidak boleh dipandang sebagai perhiasan semata-mata untuk dijadikan sebagai saguhati politik setelah Mahiadddin dipaksa meletakkan jawatan sebagai pada 16 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lim mengulangi pendiriannya bahawa perlu untuk kerajaan menyuntik dana langsung tambahan sejumlah RM45 bilion untuk membantu ekonomi Malaysia.