Israel lobi Trump halang Turki beli jet tempur F-35

Israel lobi Trump halang Turki beli jet tempur F-35

Israel secara senyap-senyap melobi pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menghalang Turki membeli jet tempur F-35 dalam memastikan rejim Zionis terus memiliki kelebihan ketenteraan di rantau itu, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan media Israel.

Televisyen Israel, Channel 12 pada Khamis melaporkan, Israel mula mendesak Rumah Putih menggugurkan Ankara daripada program F-35 sejurus selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, meluluskan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 daripada Rusia.

“Ia meletakkan tekanan ke atas Washington bagi membatalkan penjualan penjualan pesawat termaju itu kepada Turki,” lapor rangkaian itu.

Turki digantung daripada program F-35 pada Julai lalu selepas Amerika mendakwa S-400 boleh menjejaskan keselamatan jet F-35. Turki menafikan dakwaan itu dengan menegaskan sudah bertahun-tahun ia gagal membeli peluru berpandu pertahanan Patriot daripada Amerika, memaksanya memilih S-400 buatan Rusia.

Meskipun Trump enggan menghukum Turki berhubung perkara itu, wujud tekanan daripada Kongres serta di kalangan pentadbirannya menuntut Ankara dihukum termasuk dikenakan sekatan.

Sejak dua tahun lalu, Turki membeli F-35 daripada Amerika, menjadikannya satu-satunya negara Timur Tengah yang memiliki jet tercanggih itu.

Kerajaan Israel memeterai perjanjian dengan kontraktor pertahanan Amerika, Lockheed Martin untuk membeli 50 jet F-35 menggunakan dana bantuan Amerika.

Pesawat itu dihantar secara berperingkat sehingga 2024.