Israel: Pengundian bermula bagi pilihan raya parlimen

Israel: Pengundian bermula bagi pilihan raya parlimen

Pilihan raya parlimen kedua Israel dalam tempoh lima bulan berlangsung pada Selasa dan akan menentukan sama ada perdana menteri paling lama berkhidmat, Benjamin Netanyahu, akan kekal berkuasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengundian bermula pada pukul 7 pagi waktu tempatan (0400 GMT) Selasa di sejumlah 10,788 pusat di seluruh negara dan dijangka berakhir pada pukul 10 malam (1900 GMT).

Terdapat kira-kira 6.4 juta rakyat Israel yang layak mengundi dalam pilihan raya itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat yang mengawasi pengundian.

Bertanding bagi merebut 120 kerusi dalam parlimen satu dewan, atau Knesset, adalah 29 parti selepas dua parti menarik diri sejak beberapa minggu lepas. Pungutan suara meramalkan bahawa kira-kira sepuluh daripada mereka akan melepasi ambang pilihan raya dan berjaya menempatkan diri dalam Knesset.

Pilihan raya itu diadakan oleh Netanyahu selepas beliau gagal membentuk sebuah gabungan pemerintah susulan pengundian pada April.– BERNAMA