Israel roboh puluhan kediaman rakyat Palestin

Israel roboh puluhan kediaman rakyat Palestin
Foto https://www.aa.com.

– Tentera Israel pada Isnin mula bertindak merobohkan puluhan bangunan di Baitulmaqdis, mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa, lapor agensi berita Anadolu memetik penduduk tempatan.

Jentolak serta ratusan tentera Israel berpindah ke kawasan kejiranan Wadi Homs di bandar yang diduduki itu pada subuh dan mula merobohkan beberapa bangunan.

“Bangunan itu dihuni kira-kira 350 rakyat Palestin, lebih separuh daripadanya adalah kanak-kanak,” kata seorang penduduk.

Tentera Israel mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon tentera, melarang penduduk dan wartawan berada di kawasan terbabit.

Pihak berkuasa Israel mendakwa bangunan itu dibina tanpa permit.

“Tindakan meroboh itu melanggar Konvensyen Geneva Keempat dan jenayah perang menurut Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” kata Ketua Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, dalam satu kenyataan.

Beliau menyeru komuniti antarabangsa “untuk segera campur tangan terhadap tindakan Israel yang seringkali mencabuli undang-undang antarabangsa.”

Pada Jun, Mahkamah Agung Israel menolak petisyen oleh pemilik bangunan untuk membatalkan tindakan meroboh itu. Tarikh akhir mengosongkan bangunan itu adalah pada Jumaat.

Minggu lepas, penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jamie McGoldrick dan pegawai lain mengesa Israel untuk menghentikan tindakan itu.

Kesatuan Eropah turut mengkritik perbuatan itu yang boleh menggagalkan usaha “penyelesaian dua negara dan mewujudkan keamanan berkekalan”.

Israel menduduki Baitulmaqdis, di mana letaknya Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.– BERNAMA