Israel serang fasiliti ketenteraan di Gaza sebagai respons kepada tembakan roket ke Tel Aviv

Israel serang fasiliti ketenteraan di Gaza sebagai respons kepada tembakan roket ke Tel Aviv

Pesawat pejuang Israel telah melancarkan serangan udara intensif pada awal pagi Jumaat ke atas sasaran tentera di Semenanjung Gaza sebagai respons kepada dua roket yang ditembak dari kawasan pesisir enklaf Palestin ke Tel Aviv yang terletak di pusat bandar Israel pada Khamis malam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai keselamatan dan saksi.

Dron, helikopter dan pesawat pejuang F16 Israel berlegar-legar di ruang udara Semenanjung Gaza sejurus selepas media Israeli pada Khamis melaporkan serangan roket terbabit, yang tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan, kata mereka.

Ini merupakan kali pertama roket dilancarkan ke arah Tel Aviv sejak operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza bermula pada 2014.

Saksi berkata beberapa letupan kuat kedengaran di selatan Semenanjung Gaza dan di selatan pinggir bandar Gaza.

Menurut pegawai keselamatan, beberapa kemudahan tentera disasar namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pesawat pejuang tentera udara Israel telah melancarkan serangan ke atas fasiliti ketenteraan di Semenanjung Gaza sebagai respons kepada roket yang ditembak dari Gaza ke Tel Aviv, menurut kenyataan seorang jurucakap tentera Israel.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket itu.

— BERNAMA