Israel tahan 19 rakyat Palestin di Tebing Barat

Israel tahan 19 rakyat Palestin di Tebing Barat

Pasukan keselamatan Israel pada Khamis menahan 19 rakyat Palestin di Tebing Barat kerana disyaki melakukan keganasan.

Menurut agensi berita Xinhua, tangkapan dibuat ketika anggota Shin Bet dan Polis Sempadan menyerbu perkampungan dan bandar di Lembah Jordan dan beberapa kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki Israel.

“Tentera Israel menangkap 19 orang Palestin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas dan melakukan rusuhan terhadap orang awam dan askar,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Tentera rejim zionis sering menggunakan alasan “keganasan” yang merujuk kepada perbuatan membaling batu dan membakar tayar yang sering dilakukan rakyat Palestin ketika berdemonstrasi.

Tangkapan dibuat ketika ketegangan antara warga Israel dan Palestin memuncak untuk memperjuangkan hak mereka selain membantah penjajahan Israel selama 52 tahun serta sekatan yang dikenakan ke atas wilayah Palestin sejak 2007.

— BERNAMA