Israel tutup wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza hari ini

Israel tutup wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza hari ini

Tentera Israel akan menutup sepenuhnya wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki rejim itu semasa pilihan raya umum pada Selasa, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan tentera Israel.

“Mengikut penilaian situasi keselamatan dan arahan di peringkat politik, penutupan penuh akan dilakukan di kawasan-kawasan di Tebing Barat dan terminal-terminal di Semenanjung Gaza pada 9 April,” menurut kenyataan itu.

Penutupan itu akan berkuat kuasa pada waktu tengah malam Isnin.

Menurut tentera, lintasan komersial Kerem Shalom dan Beit Hanoun (Erez) ke Semenanjung Gaza akan ditutup.

Di Tebing Barat, permit kerja Israel yang dikeluarkan kepada pekerja rakyat Palestin akan dibekukan.

Parti Likud yang berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu serta pakatan politik Biru dan Putih yang diterajui Benny Gantz dianggap sebagai pesaing utama dalam pengundian bagi memilih anggota Knesset (parlimen Israel).- BERNAMA